Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Had umur belia 30 tahun mulai 2026
Diterbitkan:  Jul 17, 2025 4:43 PM
Dikemaskini: 8:43 AM

Kerajaan Persekutuan tetap dengan keputusan menurunkan had umur belia kepada 30 tahun bermula 1 Jan tahun depan selaras pindaan yang diluluskan Parlimen pada 2019, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Bagaimanapun katanya Sarawak tidak terikat dengan perubahan itu kerana badan belia utamanya, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) dan bukan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

“Untuk had umur belia ini, kerajaan telah buat keputusan, tahun 2019 parlimen luluskan undang-undang.

"Kemudian kita telah tangguh dua kali sebelum ini dan ini bermaksud sekarang ini kita dalam tempoh penangguhan tahun ketiga.

“Sarawak ada pertubuhan belia mereka iaitu Saberkas dan tidak berdaftar di ROY. Saberkas berdaftar di ROS (jadi) memang dia tak perlu ikut.

"Bawah ROS tak ada had umur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pickleball Asia 2025 di Petaling Jaya hari ini.

Yeoh menegaskan bahawa pindaan umur belia kepada 30 tahun adalah langkah selaras dengan trend global yang semakin menumpukan kepada golongan muda.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini berkata negeri itu mempunyai kuasa untuk menetapkan had umur belia di peringkat negeri.

Sarawak juga tidak bercadang untuk mengikut ketetapan kerajaan persekutuan dan mengekalkan had umur belia antara 15 hingga 40 tahun.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS