Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini mengarahkan ibu Zayn Rayyan Abdul Matin untuk membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.
Membaca keputusan, hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan perkara itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap ibunya Ismanira Abdul Manaf.
Sementara itu, bapa kanak-kanak tersebut, Zaim Ikhwan Zahari, dibebaskan tanpa perlu membela diri selepas mahkamah memutuskan tiada cukup bukti untuk meneruskan kes terhadapnya.
Terdahulu, Haresh Mahadevan memberitahu pemberita bahawa mahkamah akan memulakan perbicaraan bermula dua petang hari ini.
"Mahkamah dah buat keputusan, bebaskan Zaim. Dan Ismanira diminta membela diri,” katanya.
Tambahnya, pihak pembelaan akan memanggil lebih kurang lima saksi termasuk suami Ismanira.
Pada 24 April lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 28 saksi pendakwaan sepanjang 20 hari perbicaraan yang bermula pada 4 Februari lepas.
Antara saksi pendakwaan yang memberi keterangan ialah orang pertama yang menjumpai mayat Zayn Rayyan, Faizul Najib Abd Munaim, pengasuh mangsa Auni Afiqah Abas, pakar perubatan perunding forensik Rohayu Shahar Adnan, tiga pegawai penyiasat serta dua saksi kanak-kanak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala peguam Haresh, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh yang mewakili kedua-dua tertuduh.

Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing berusia 30 tahun didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa di sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai sehingga kawasan sungai berdekatan antara 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Mereka didakwa bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023. Mayatnya ditemukan keesokan harinya di aliran anak sungai berhampiran rumahnya.
