Lingam: Saya akan bersihkan nama saya...
Selepas dua bulan berdiam diri, Peguam terkemuka Datuk VK Lingam hari ini membuat komen pertamanya berhubung dakwaan peranannya dalam pelantikan hakim-hakim.
Selepas dua bulan berdiam diri, Peguam terkemuka Datuk VK Lingam hari ini membuat komen pertamanya berhubung dakwaan peranannya dalam pelantikan hakim-hakim.
Katanya, beliau akan bekerjasama dengan suruhanjaya diraja yang akan ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyiasat skandal klip video Lingam yang dirakamkan pada tahun 2002.
"Sudah tentunya saya akan bekerjasama dengan suruhanjaya diraja. Dan oleh itu, adalah tidak sesuai untuk saya membuat sebarang komen mengenainya sekarang," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi petang ini.
Beliau kedengaran tenang apabila ditanya mengenai dakwaan pembabitannya itu, yang dirakamkan dalam klip video tersebut.
Lingam gagal dihubungi untuk mendapatkan komennya sejak klip video tersebut didedahkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 September lalu.
Klip tersebut menunjukkan perbualan telefon Lingam, didakwa dengan Hakim Besar Malaya ketika itu, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, mengenai pelantikan hakim-hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Ahmad Fairuz dilantik Ketua Hakim Negara pada 2003. Beliau bersara pada 31 Oktober lalu.
'Saya kan bersihkan nama saya'
Lingam berkata, beliau juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain yang sedang menyiasat klip video tersebut.
Sebelum ini dilaporkan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah merakamkan kenyataan Lingam mengenai percakapannya dalam klip video tersebut.
"Apabila tiba masanya, saya akan tampil dan menunjukkan diri saya, bukan sahaja kepada suruhanjaya diraja, tetapi juga kepada BPR dan sesiapa sahaja," tambahnya.
"Saya rasa saya tidak sepatutnya bercakap mengenai apa-apa sekarang. Di suruhanjaya diraja nanti, saya akan membersihkan nama saya," tambahnya.
Lingam enggan bercakap dengan pihak media sejak klip video tersebut didedahkan, kecuali berkata beliau akan mengeluarkan kenyataan pada masa yang sesuai.
Semalam, peguam Wee Choo Keong mendedahkan laporan polis yang dibuat oleh adik Lingam, Thirunama Karasu Kandar Veluppillai, 50, yang mendakwa berlakunya rasuah dalam badan kehakiman serta mendedahkan maklumat mengenai hubungan abangnya dengan hakim-hakim berjawatan tinggi.
Dalam laporannya itu, Thirunama telah mendakwa, Lingam telah "memperalatkannya" untuk merasuah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohtar Abdullah, seorang bekas ketua polis dan beberapa hakim kanan.
Hari ini, Lingam menafikan dakwaan adiknya itu yang menurutnya, mengalami masalah "halusinasi, kecenderungan kuat untuk membunuh diri, delusi dan depresi".
Beliau juga berkata, Thirunama telah diperalat, dimanipulasi dan dieksploitasi oleh mereka yang mempunyai motif dan agenda sendiri.

