Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN masih solo, dasar tolak PH dan PN kekal - MIC

MIC berkata pendirian BN untuk tidak menyokong sama ada PH atau PN selepas PRU ke-15 masih kekal.

Setiausaha Agung MIC S Ananthan juga berkata parti itu menolak kenyataan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan parti itu tidak akan bergerak secara solo bagi menghadapi PRU akan datang.

Katanya kerjasama yang diberikan BN dalam lerajaan perpaduan di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika ini adalah bersifat sementara.

"Buat masa ini keputusan 'no PH', dan 'no PN' yang diambil dalam mesyuarat BN selepas PRU ke-15 masih kekal.

"Saya sebagai pemimpin menghadiri setiap mesyuarat BN boleh mengesahkan bahawa gabungan kami tidak mengambil sebarang keputusan kerjasama dengan gabungan lain pada PRU ke-16,” katanya.

Dia juga memberitahu setakat ini tidak ada perbincangan untuk BN tidak bergerak solo pada PRU akan datang.

Terdahulu, Ananthan diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang berkata BN akan kekal menjalin kerjasama dengan kerajaan perpaduan demi kestabilan politik negara.

Dipetik sebuah portal berita tempatan, Ahmad Zahid berkata, meskipun terdapat desakan dan suara-suara tertentu yang menggesa Umno-BN bergerak secara solo, namun keputusan parti adalah jelas iaitu kekal menjalinkan kerjasama.

Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, walaupun jalinan kerjasama itu diteruskan tetapi BN kekal menggunakan lambang dacing.

Pun begitu Ananthan berkata kenyataan Pengerusi BN itu bukan pendirian rasmi gabungan terbabit.

Seperti sedia maklum, katanya, selepas tiada mana-mana gabungan memiliki majoriti untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU lalu, pendirian rasmi BN ialah tidak menyokong mana-mana pihak.

Katanya keputusan tersebut diambil dalam mesyuarat BN.

"Namun, BN kemudian mengambil keputusan menyertai kerajaan perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agung demi kestabilan politik tanah air.

"Maka, secara teknikal, kami menyokong kerajaan hari ini atas titah Seri Paduka Baginda sehingga PRU ke-16.

“BN masih gabungan solo dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Katanya, sekiranya BN ingin bekerjasama dengan PH atau mana-mana gabungan, ia masih perlu mendapatkan sokongan semua parti komponen dalam gabungan BN.

"Sebarang keputusan memerlukan konsensus. Tiada pihak atau individu yang boleh mewakili BN secara sendirian," jelasnya.

Malaysiakini telah menghubungi MCA untuk mendapatkan komen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS