Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Terima kasih Bersatu kerana sudi terima mamat penyapu, kata Jamal
Diterbitkan:  Aug 7, 2025 10:02 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos secara sinis mengucapkan terima kasih kepada Bersatu kerana menerima penyertaan bekas menteri besar Selangor, Khir Toyo dalam parti itu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada parti Bersatu kerana sudi terima mamat ini.

“Hilang duri dalam Umno bahagian Sungai Besar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jamal mengulas kenyataan Khir yang mempertahankan keputusannya menyertai Bersatu, dengan mendakwa bahawa Umno tidak lagi memainkan peranan sebagai parti dominan dalam kerajaan.

Bekas Adun Sungai Panjang itu juga pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Sungai Besar.

Berita penyertaan Khir ke dalam Bersatu dikongsikan oleh bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik dalam satu hantaran di Facebook semalam.

Langkah itu menerima kritikan daripada pemimpin-pemimpin Umno yang melabelkan Khir sebagai ‘pemimpin penyapu’ – merujuk kepada insiden pada tahun 2007 apabila dia menghadiahkan penyapu kepada seorang pegawai majlis daerah sebagai satu bentuk penghinaan.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi berkata, parti itu tidak rugi apa-apa dengan tindakan Khir keluar parti.

Puad Zarkashi

Menurutnya, ahli-ahli Umno, penjawat awam dan rakyat tidak pernah melupakan “legasi penyapu” yang dibawa Khir semasa menjadi menteri besar, yang menurutnya menjadi punca Umno kehilangan kuasa di Selangor.

“Khir Toyo menyertai Bersatu kerana tidak boleh terima Umno duduk di bawah ketiak PMX. Umno tidak rugi sesen pun. Bawalah kudis penyap ke dalam Bersatu.

“Tiba-tiba dia bercakap soal kembali dominan terutamanya di Selangor. Ternyata pemikiran politik Khir Toyo baik dari segi realiti dan taktikal jauh ketinggalan,“ katanya.

“Khir Toyo menyertai Bersatu kerana tidak boleh terima Umno duduk di bawah ketiak PMX. Umno tidak rugi sesen pun. Bawalah kudis penyap ke dalam Bersatu.

“Tiba-tiba dia bercakap soal kembali dominan terutamanya di Selangor. Ternyata pemikiran politik Khir Toyo baik dari segi realiti dan taktikal jauh ketinggalan,:-“ katanya.

Semalam, Khir berkata, alasan dia meninggalkan Umno adalah kerana dia tidak lagi melihatnya sebagai sebuah parti yang dominan dalam arena politik negara ketika ini.

“Tetapi kalau asyik berlindung bawah ketiak perdana menteri, macam mana nak jadi dominan?

“Dan saya lihat Bersatu ada cita-cita untuk menjadi dominan. Sebab itu saya sertai mereka,” kata bekas pemimpin Umno itu.

Mengulas lanjut, Puad mendakwa Khir meninggalkan parti kerana kecewa tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Khir Toyo masih bernafsu untuk jadi calon. Dia kecewa kerana di PRU15 dia tidak dicalonkan. Sebab itu dia menyertai Bersatu,” katanya.

Pada PRU15 pada 2022, Khir cuba membuat kemunculan semula dalam politik dengan mengumumkan hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Namun, BN memutuskan untuk mencalonkan Jamal sebagai calonnya. Bagaimanapun, Jamal tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS