Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, menegaskan dia tidak pernah membuat sebarang ugutan jenayah berhubung himpunan protes terhadap Akta Hasutan 1948 di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu.
Dia berkata demikian selepas memberi keterangan hampir dua jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Katanya, kertas siasatan kes itu tidak berpunca daripada laporan polis oleh mana-mana pihak yang mendakwa diugut, sebaliknya dibuat oleh pihak polis sendiri.
"Penting untuk saya tegaskan bahawa sejak malam himpunan solidariti di hadapan IPD Dang Wangi sehingga ke hari ini, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail masih belum menafikan dakwaan bahawa dia mengarahkan penahanan beberapa pimpinan Bersatu dan Pemuda Bersatu (Armada).
"Adalah jelas bahawa walaupun Kerajaan Madani mendakwa menyokong protes aman Himpunan Turun Anwar dan tidak akan mengambil tindakan terhadap peserta, penggunaan Seksyen 233 dan Seksyen 506 kini seolah-olah menjadi norma baru untuk tujuan gangguan dan intimidasi.
"Jika benar menyokong kebebasan berhimpun, mengapa dalam masa yang sama wujud ancaman undang-undang? Saya menyeru hentikan salah guna kuasa dan peralatkan polis untuk tujuan politik," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu Adun Gombak Setia itu hadir ke Bukit Aman diringi peguamnya, Mahajort Singh, pada jam 11 pagi dan selesai diambil keterangan berkaitan kes berkenaan sekitar jam 1.30 petang.
Malaysiakini difahamkan dalam protes itu Hilman mendakwa penahanan dua pemimpin akar umbi parti itu sebelum ini diarahkan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum ini dua pemimpin akar umbi Bersatu termasuk Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shahrin, ditahan polis selepas himpunan ‘Turun Anwar’.
Ketua Polis Negara Khalid Ismail kemudiannya mengesahkan penahanan itu bertujuan bagi menyiasat satu insiden semasa perhimpunan ‘Turun Anwar’ yang menyaksikan beberapa individu dilihat merotan patung menyerupai Anwar.
Khalid berkata susulan itu dua lelaki, berusia 21 dan 47 tahun, telah ditahan untuk membantu siasatan.
