Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Tiada masalah mohon maaf pada Muhyiddin, tapi tunggu siasatan MCMC

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bersedia untuk memohon maaf kepada Muhyiddin Yassin, berhubung dakwaan bahawa pengerusi PN itu mempertahankan pemberian subsidi kepada warga asing.

Bagaimanapun, Anwar memberitahu Parlimen bahawa dia masih menunggu hasil siasatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menentukan sama ada sumber maklumat yang dirujuk itu palsu atau sebaliknya.

Anwar juga mendakwa dia mempunyai tiga sumber maklumat, yang mana satu daripadanya telah disahkan palsu.

"Saya tiada masalah, kalau dipastikan tidak ada sumber yang sahih, itu satu kesilapan, saya tak ada masalah (untuk memohon maaf).

"Tolong siasat 1,2,3 ni apakah sahih, kalau tak sahih maka kenyataan itu memang tak benar, tapi tunggu keputusan MCMC dulu,” katanya.

Anwar menjawab pertanyaan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) dan Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta penjelasan apakah dia akan memohon maaf kepada Muhyiddin.

Minggu lalu, Anwar mendakwa di Parlimen bahawa pengerusi PN itu mempertahankan pemberian subsidi minyak kepada warga asing dengan alasan mereka turut menyumbang kepada negara.

Dia turut menegur Rosol kerana tidak mengetahui kenyataan pemimpin Bersatu tersebut.

Muhyiddin menafikan perkara itu sebelum Anwar kemudian mengarahkan MCMC menjalankan siasatan – yang menumpukan kepada sebuah video TikTok.

Perkara itu mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan Anwar memperoleh maklumat palsu yang disebarkan menerusi satu video TikTok.

Tidak jelas apakah dua lagi sumber maklumat yang didakwa dimiliki Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS