Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adun Melaka buktikan bendera dipasang betul juga boleh jadi terbalik
Diterbitkan:  Aug 18, 2025 3:21 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Seorang Adun Melaka berkongsi rakaman video yang menunjukkan bendera yang dipasang dengan betul juga boleh menjadi terbalik sekiranya ditiup angin pada arah tertentu.

Perkara itu dibangkitkan susulan keengganan sesetengah pihak untuk mengibarkan Jalur Gemilang kerana bimbang menjadi sasaran jika bendera mereka terbalik secara tidak sengaja, sesuatu yang sebelum ini dianggap mustahil berlaku oleh sejumlah pihak

Dalam video yang dikongsi Adun Duyong, Noor Helmy Abdul Halem di Facebook, rakaman CCTV dari kilang Texas Instruments di Melaka menunjukkan Jalur Gemilang yang dipasang dengan betul tercabut akibat tiupan angin kencang sebelum menjadi terbalik.

Noor Helmy Abdul Halem

Adun Umno itu turut berkongsi gambar bendera lain yang sebahagiannya tercabut dari tiang dan kemudian menjadi terbalik.

Hantaran Helmy yang dimuat naik semalam itu sebagai respons kepada gambar bendera terbalik di kilang berkenaan yang menjadi tular

Histeria bendera

Mutakhir ini, terdapat gelombang kemarahan terhadap insiden Jalur Gemilang yang dipamerkan secara salah selepas dua kejadian bendera negara itu dikibarkan secara terbalik.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh – yang juga Adun Melaka – menjadi antara yang paling lantang membangkitkan perkara tersebut, sehingga mencetuskan himpunan di luar sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang - lokasi salah satu kejadian itu berlaku.

Akmal dan beberapa pihak lain turut menggunakan bahasa bernada perkauman dalam kritikan mereka memandangkan kedua-dua kejadian itu melibatkan kaum Cina.

Sebagai reaksi, sejumlah orang bukan Melayu di media sosial berkata mereka tidak akan mengibarkan Jalur Gemilang tahun ini kerana bimbang disasarkan akibat kesilapan, kecuaian atau bahkan sabotaj.

Namun, ada pihak yang menolak kebimbangan itu dengan alasan kesilapan mustahil akan berlaku jika bendera memang dipasang dengan betul.

Pendekatan Helmy yang lebih sistematik, iaitu dengan menjalankan siasatan terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan, dipuji pemimpin DAP.

Ketua Pemuda DAP dan PH, Woo Kah Leong berkata pendekatan Helmy mencerminkan politik matang.

Timbalan speaker DUN Melaka Kerk Chee Yee turut memuji Helmy dan berkata Akmal sepatutnya mengambil teladan daripadanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS