Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peruntukan RM40 juta bukti k'jaan tak pinggir orang India - Prabakaran

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan RM40 juta bagi program untuk masyarakat India, sambil menegaskan ia menepis dakwaan pembangkang bahawa kaum itu dipinggirkan.

Prabakaran, yang juga pengerusi jawatankuasa pasukan petugas khas (JPPK) Unit Transformasi India Malaysia (Mitra), berkata pembangkang sengaja membuat dakwaan tersebut untuk mengelirukan orang India demi kepentingan politik.

“Kami menyambut baik dan amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman yang sungguh baik untuk masyarakat India.

“PM mengingatkan Parlimen dan luar sana yang kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat India. (Namun) dekat luar, ahli-ahli politik dan di sosial media, (ada dakwaan) yang telah mengelirukan masyarakat India.

“Hari ini, Perdana Menteri telah memberi jaminan yang kerajaan akan berikan dana secara saksama, tak kira agama dan kaum,” kata Prabakaran dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Prabakaran menggariskan empat program di bawah peruntukan RM40 juta itu:

  • RM5 juta untuk menambah baik kemudahan di kampung-kampung masyarakat India, selain RM10 juta yang diperuntukkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam Belanjawan 2025.

  • RM5 juta untuk menambah baik makmal ICT di SJKT.

  • RM20 juta untuk memperkasa rumah ibadat Hindu sebagai pusat komuniti di bawah Kementerian Perpaduan.

  • RM10 juta untuk bantuan penyelenggaraan dan memperbaiki kerosakan kecil rumah untuk pekerja ladang India B40.

Menurut Prabakaran, ia menjadikan keseluruhan peruntukan untuk masyarakat India pada tahun ini kepada kira-kira RM62.3 juta.

“Saya sekali lagi ucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman yang sangat bermakna.

“Saya juga nasihat kepada tentera siber pembangkang yang asyik memberi fakta yang auta, provokasi terhadap masyarakat India, untuk hentikannya. Ini adalah pengumuman yang sangat baik.

“Bukan hanya itu, RM1 bilion telah digunakan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk orang India. Jadi tak perlu cakap bukan-bukan di media sosial,” katanya lagi.

Memperkasa rumah ibadat

Timbalan Menteri Perpaduan K Saraswathy juga mengalu-alukan peruntukan RM20 juta untuk mengukuhkan  fungsi rumah ibadat orang India sebagai pusat komuniti.

Dia juga menyebut semula penjelasan Anwar berhubung perubahan pendekatan kerajaan dalam menyalurkan dana Mitra, berbanding tahun-tahun sebelumnya.

K Saraswathy

Katanya, Anwar menekankan prinsip tatakelola dan maka, penyaluran dan pemantauan dana dibuat di bawah kementerian yang ditugaskan mengendalikan inisiatif yang spesifik.

“Jadi ini pendekatan baru, yang gagal difahami oleh orang buat bising tentang kurangnya pemakluman atau peruntukan kepada persatuan,” katanya lagi.

Turut serta dalam sidang media adalah Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari, yang turut menyatakan komitmen kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar, termasuk di kalangan orang India.


Laporan oleh Alyaa Alhadjri, Hariz Mohd, Haspaizi Zain


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS