Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pearly-Thinaah mara ke final kejohanan dunia BWF
Diterbitkan:  Aug 30, 2025 7:52 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

Gandingan wanita utama negara Pearly Tan-M.Thinaah melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wakil sulung beregu wanita Malaysia mara ke pentas akhir Kejohanan Badminton Dunia selepas menewaskan pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida, di Adidas Arena, Paris, Perancis hari ini.

Dalam aksi separuh akhir penuh dramatik yang berlangsung selama 68 minit, pasangan ranking kedua dunia itu bangkit selepas tewas set pertama untuk menundukkan gandingan pilihan ketiga dunia 14-21, 21-13, 21-12.

Kemenangan itu juga menyaksikan Pearly-Thinaah memecah dominasi lawan, sekali gus mencatat kemenangan ketiga daripada 16 pertemuan menentang Matsuyama-Shida.

Di final esok, mereka bakal berdepan sama ada beregu pilihan utama dari China, Liu Shengshu-Tan Ning atau pasangan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.

Kemaraan ini adalah pencapaian terbaik Pearly-Thinaah dalam empat penampilan di Kejohanan Dunia, selepas rekod terbaik sebelum ini hanya mara ke suku akhir edisi 2023.

“Sukar dipercayai kami berjaya melangkah ke final selepas apa yang dilalui dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Hari ini, kata-kata tidak dapat menggambarkan betapa gembiranya kami,” kata Pearly menerusi audio dikongsikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Dengan keputusan itu, Matsuyama-Shida terpaksa berpuas hati membawa pulang pingat gangsa.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS