Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dunia itu bulat' - Pemuda Bersatu ingatkan Anwar janji mansuh Akta Hasutan

Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham memberi peringatan keras kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung janji Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan Akta Hasutan yang wujud sejak era penjajah, ketika ia digunakan terhadap pelbagai pemimpin pembangkang.

Dalam ucapannya untuk melancarkan Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda Bersatu (Armada), Hilman mengecam penahanan terbaru terhadap ketua bahagian Port Dickson parti itu Badrul Hisham Shaharin, yang didakwa berhubung ucapannya semasa ceramah politik di Bagan Serai, Perak.

“Saya ingin tegaskan, wahai perdana menteri, wahai Anwar Ibrahim, dulu kamu janji untuk mansuh Akta Hasutan, sekarang kamu gunakan untuk mempertahankan kuasa kamu.

"Ingatlah, ingat! Dunia itu bulat. Sampai masa nanti, kami Armada akan pastikan kamu juga akan kita mansuhkan daripada Putrajaya,” kata Adun Gombak Setia itu kepada perwakilan yang berhimpun di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Dalam petikan video yang dikatakan itu, Badrul kedengaran bercakap mengenai raja-raja Melayu dan dakwaan cubaan pihak tertentu untuk membuatkan orang Melayu hilang rasa hormat terhadap raja-raja Melayu.

Dalam ucapannya, Hilman turut merujuk kepada beberapa tangkapan baru-baru ini terhadap pemimpin Bersatu, yang didakwanya berpunca daripada ucapan mengkritik kerajaan.

“Apa yang kita lalui sekarang, adalah sebahagian daripada perjuangan yang akan membantu kita menjadi matang.

“Di saat komitmen kita diuji, ingatlah, semangat setiakawan kita juga sedang diuji,” tegasnya.

“Tiada lagi kepentingan peribadi, sebaliknya hanya pengorbanan diri untuk perjuangan,” tambahnya.

Selain Ketua Pemuda MIPP Justin Prabakaran duduk di pentas utama bersama Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, turut kelihatan hadir ialah Timbalan Ketua Pemuda MIC K Kesavan.

Ditemui kemudian, Kesavan berkata, "Saya datang atas jemputan tetapi keputusan akan dibuat oleh pucuk pimpinan."

Kehadirannya hari ini berikutan empat jawatankuasa perhubungan negeri MIC meluluskan resolusi untuk keluar daripada BN.

Di tengah-tengah kemarahan yang memuncak dalam MIC dan MCA, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini menjemput kedua-dua parti komponen BN itu untuk bergabung.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS