Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Skandal Sabah: Amira Aisya beri keterangan kepada polis

Nota Editor: Berita ini diolah semula berdasarkan keterangan Pemangku Pesiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, yang menjelaskan dia memberi kenyataan kepada polis, bukannya laporan kali kedua seperti yang disebutnya pada sidang media terdahulu.


Pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, memberi keterangan kepada polis berhubung laporan yang dibuatnya terhadap Azam Baki selepas bos nombor satu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan didakwa didakwa gagal mengambil tindakan terhadap dakwaan serius melibatkan seorang pegawai tinggi agensi terbabit.

Adun Puteri Wangsa itu memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, pada 28 Ogos, Amira Aisya membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan terkait laporan yang didedahkan seorang ahli perniagaan, Albert Tei.

"Pada 23 Julai lalu saya membaca artikel di Malaysiakini bertarikh 22 Julai yang memetik dakwaan Albert Tei bahawa dia telah cuba tampil kepada SPRM pada akhir Okt 2024 untuk mendedahkan maklumat mengenai skandal perlombongan di Sabah, namun telah diberi amaran oleh seorang pegawai tinggi SPRM supaya tidak berbuat demikian.

"Artikel susulan pada 23 Julai pula melaporkan Albert Tei bersedia menamakan pegawai SPRM berkenaan dengan syarat beliau diberikan perlindungan pemberi maklumat terlebih dahulu.

"Ini adalah satu perkara yang sangat besar adalah satu pelanggaran amanah, pelanggaran tanggungjawab di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

"Ini adalah pelanggaran undang-undang daripada segi jenayah undang-undang," katanya dalam sidang media hari ini.

Untuk rekod, pada 23 Julai lalu Tei menyatakan dia bersedia untuk menamakan pegawai SPRM yang memberi amaran kepadanya agar tidak mendedahkan skandal perlombongan di Sabah.

Namun kata peguamnya, Mahajoth Singh, Tei mahukan perlindungan sebagai pemberi maklumat terlebih dahulu.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini ketika itu, Mahajoth mendedahkan amaran itu datang daripada individu yang memegang jawatan berautoriti tinggi.

Dia mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, yang menggesa Tei membuat laporan rasmi serta memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk intimidasi terhadap pemberi maklumat.

Namun, Mahajoth berkata jaminan seperti itu perlu dilihat dengan berhati-hati berdasarkan pengalaman lalu anak guamnya.

Mengulas lanjut, Amira Aisya menyatakan kebimbangannya kerana tiada sebarang tindakan diambil oleh Azam berhubung dakwaan tersebut.

"Bagaimana mungkin ketua pesuruhjaya yang mengetuai badan penguatkuasaan tertinggi negara dalam memerangi rasuah boleh berdiam diri terhadap dakwaan bahawa SPRM sendiri memberi amaran kepada seseorang supaya tidak melaporkan rasuah?" katanya.

Dia berpendapat kegagalan Azam untuk bertindak bukan sahaja merupakan pelanggaran langsung terhadap kewajipannya di bawah Seksyen 11 dibaca bersama Seksyen 7 Akta SPRM 2009, malah mungkin merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan.

"Dengan ini, saya memohon agar pihak polis menjalankan siasatan segera terhadap tindakan (atau ketiadaan tindakan) Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam perkara ini, dan mengambil tindakan sewajarnya menurut undang-undang sekiranya pelanggaran atau kesalahan terbukti," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS