Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli DHPP kini secara rasmi jadi ahli bersekutu PAS

MUKTAMAR PAS | Ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) kini diserap menjadi ahli bersekutu parti itu, kata Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Dalam ucapan pembukaan pada Muktamar Tahunan PAS ke-71 di Kedah pagi ini, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, perkara itu diputuskan selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pindaan perlembagaan PAS bagi menerima bukan Islam sebagai ahli bersekutu.

Menurut Takiyuddin, jumlah keahlian parti kini telah meningkat kepada 1.3 juta orang.

"Sukalah saya memaklumkan pada sidang hadirin sekalian, bahawa kini keahlian PAS telah ditambah lagi dengan satu lagi kategori keahlian baru, iaitu ahli bersekutu PAS apabila ROS meluluskan pindaan perlembagaan PAS mulai Ogos 2025 lalu.

"Mengikut fasal 10 pindaan 2025, syarat jadi ahli bersekutu PAS, selain warganegara dan umur tak kurang 18, mereka hendaklah beragama selain daripada Islam.

"Berikutan kategori baru ini, semua ahli DHPP berstatus rakan PAS atau friends of PAS, automatik diserap jadi ahli PAS dalam kategori ahli bersekutu PAS.

"Berikutan itu juga, DHPP yang hanya jadi sayap tak rasmi, dengan rasminya akan jadi salah satu sayap baru PAS bersama As-Sabiqun (veteran PAS) dan tiga sayap lain sedia ada.

“Selamat datang rakan-rakan, sahabat kami ke PAS," katanya.

Layak pilih kepimpinan pusat

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Takiyuddin berkata DHPP mempunyai 10,000 ahli daripada seluruh negara

"Ahli DHPP sudah 10,000, yang jumlah 1.3 juta ahli PAS itu tidak termasuk ahli DHPP lagi. Bila kita serap nanti ia akan bertambah lagi.

"Perwakilan DHPP nanti layak memilih kepimpinan pusat.

"Sekarang mereka ada perwakilan 20 orang tapi tak boleh mengundi sebab mereka belum wujud dalam perlembagaan, mungkin muktamar akan datang mereka boleh memilih," jelas Takiyuddin ketika diminta mengulas kedudukan DHPP dalam PAS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS