Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sin Chew, Sinar Harian didenda RM100,000
Diterbitkan:  Sep 19, 2025 9:41 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Dua syarikat media tempatan Sin Chew Media Corporation Berhad dan Sinar Karangkraf Sdn Bhd masing-masing dikenakan denda RM100,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), selepas diberi kuasa untuk mengambil tindakan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC berkata siasatan telah dilancarkan selepas Sin Chew Daily didakwa memuat naik paparan tidak lengkap Jalur Gemilang di laman web mereka.

Secara berasingan, Sinar Harian didenda kerana infografik yang secara salah menyatakan bahawa Ketua Polis Negara Khalid Ismail adalah ahli PKR.

“MCMC menegaskan bahawa Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan maruah negara yang wajib dipaparkan dengan tepat serta penuh hemah pada setiap masa.

"Pada masa sama, penyebaran kandungan palsu yang melibatkan institusi keselamatan negara boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keyakinan masyarakat terhadap pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan media hari ini.

MCMC menggesa semua organisasi media dan pengguna media sosial supaya sentiasa memastikan ketepatan dan kesahihan kandungan yang diterbitkan terutamanya apabila melibatkan lambang dan simbol rasmi negara.

Kedua-dua syarikat media itu disiasat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan didakwa mengikut Seksyen 243 undang-undang yang sama.

Di bawah Seksyen 233 akta itu, penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian untuk menghantar kandungan yang lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam, dengan niat untuk menyalahgunakan, mengugut atau mengganggu boleh membawa denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Suruhanjaya itu selanjutnya menegaskan bahawa ia akan terus memperkukuh penguatkuasaan undang-undang tersebut, dan melaksanakan inisiatif literasi digital untuk menjaga keharmonian dan kestabilan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS