PAS hari ini mengesahkan bahawa parti pembangkang itu telah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan teringgi Umno mengenai dengan isu-isu kepentingan Melayu-Islam.

Ketika mengesahkan perkara itu hari ini, Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak itu mula diadakan sejak awal tahun ini.

Beliau memberitahu Malaysiakini demikian ketika diminta mengulas desas-desus mengenai wujud perbincangan PAS-Umno sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Nasharudin menafikan dakwaan bahawa ia ada kaitan dengan usaha untuk menubuhkan kerajaan campuran antara kedua-dua parti Melayu itu.

Ketika ditemui di pejabat agung PAS di ibunegara hari ini, beliau berkata, semua isu berkaitan orang Melayu yang melibatkan kepentingan kedua belah pihak telah dibawa berbincang.

Nasharudin bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada perbincangan tersebut telah menghasil keputusan bersama dan telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Beliau juga enggan memberitahu pemimpin Umno yang terbabit dalam perbincangan tersebut, tetapi mengesahkan beliau adalan antara yang mewakili PAS.

"Kita selalu bertemu dan berbincang," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui pejabat agung PAS di ibunegara hari ini.

(Berita lanjut menyusul)