Badan bebas Pemantau (Mafrel) mencadangkan seorang hakim dilantik mengetuai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi memastikan pengurusan dan perjalanan pilihanraya yang adil dan bersih sebagaimana yang dilakukan oleh beberapa negara lain.

Pengerusinya, Abdul Malek Hussin berkata, negara-negara Komanwel termasuk Pakistan, Afrika Selatan dan Bangladesh melantik hakim sebagai pengerusi atau ketua suruhanjaya tersebut.

"Pelantikan hakim itu bertujuan untuk memberi keyakinan kepada orang awam terhadap SPR dan mengenai perjalanan pilihanraya di negara ini.

"Mafrel mencadangkan supaya hakim yang masih berkhidmat dilantik untuk menjadi Pengerusi SPR.

"Sekarang orang bercakap mengenai keadilan pilihanraya berbanding sebelum ini, orang tidak memperkatakannya," katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Abdul Malek berkata demikian ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan untuk menyambung kontrak Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang tamat kontrak akhir tahun ini setahun lagi.

Beberapa pihak teramsuk parti politik pembangkang membantah usaha untuk menyambung kontrak Abdul Rashid sebagai pengerusi SPR.

Senarai pemilih

Sebelum itu, beliau mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan PAS yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai tugas Mafrel dalam pilihanraya umum akan datang.

Ini merupakan pertemuan kedua Mafrel dengan parti politik. Minggu lalu Abdul Malek mengadakan pertemuan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mafrel, kata Abdul Malek lagi, akan mengadakan pertemuan dengan DAP pada minggu ini dan Barisan Nasional (BN) pada minggu depan.

Sebelum ini, katanya, Mafrel telah mengadakan perbincangan dengan SPR, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan ibu pejabat polis Bukit Aman.

Bagaimapun, Abdul Malek tidak dapat memberitahu berapa ramai pemantau yang akan dilantik oleh Mafrel dalam pilihanraya umum akan datang.

Sementara itu, Penyelaras Mafrel bagi Pantai Timur, Dr Abdul Halim Yusof yang hadir sama dalam sidang media tersebut berkata, SPR Kelantan telah mengeluarkan 89 senarai daftar pemilih di negeri itu.

"Kita akan terus membuat pemantauan dan pemeriksaan untuk memastikan senarai daftar pemilih adalah bersih," katanya.