Kerajaan memberi perangkaan yang menunjukkan pendapatan isi rumah kasar bulanan kaum India di Malaysia jauh lebih baik daripada kaum Bumiputera.

Parlimen diberitahu semalam bahawa pendapatan isi rumah kasar bulanan kaum India ialah RM3,456 berbanding RM2,711 bagi kaum Bumiputera.

Perangkaan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman itu adalah berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan tahun 2004.

Katanya, pendapatan isi rumah kaum India itu mencatatkan peningkatan berbanding RM2,702 pada tahun 1999.

Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh (BN-Gerik).

Manakala pendapatan bulanan kaum Cina pula ialah RM4,437.

Katanya, peratus kadar kemiskinan dan kemiskinan tegar bagi tahun 2004 ialah Bumiputera 8.3 peratus, India (2.9 peratus) manakala kaum Cina (0.6 peratus).

Perangkaan tersebut, kata Zainal menunjukkan jumlah pendapatan dan kadar kemiskinan kaum India itu jauh lebih baik berbanding kaum Melayu dan Bumiputera yang masih ketinggalan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak tertentu supaya berpegang kepada fakta dan tidak dipengaruhi oleh emosi.

Malah, katanya, kerajaan mensasarkan matlamat mengurangkan kadar kemiskinan negara daripada 5.7 peratus pada tahun 2004 kepada 2.85 peratus pada tahun 2010.

Matlamat itu, tambahnya, akan turut menghapuskan kemiskinan tegar sepenuhnya menjelang tahun 2010.

Kerajaan juga, katanya, akan mengkaji semula definisi pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang seragam dan pragmatik untuk Semenanjung, Sabah dan Sarawak, berbanding sistem mengikut negeri pada masa sekarang.

"Kita dalam proses membuka ladang-ladang sejahtera di bawah projek lonjakan mega bermula di Pulau Banggi di Sabah, kemudiannya Perak, Pahang dan negeri-negeri lain agar golongan miskin tegar mendapat pembelaan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mahadzir Md Khir (BN-Sungai Petani).