Seramai 26 penyokong Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan cuba membunuh dan merosakkan hartabenda awam sewaktu perhimpunan di Kuala Lumpur pada 25 November lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, peguam mereka berkata, kesemuanya dituduh di hadapan Hakim Azimah Omar di Mahkamah Sesyen Shah Alam petang tadi.

Lima belas daripada mereka, telahpun didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang minggu lalu mengikut Seksyen 27 Akta Polis dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan atas tuduhan menyertai perhimpunan haram. Mereka kemudiannya dibebaskan dengan ikatjamin.

Hari ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas tuduhan cuba membunuh serta tuduhan melakukan khianat ketika menyertai satu perhimpunan haram, mengikut Seksyen 440 kanun yang sama.

Manakala 11 orang lagi, yang pertama dihadapkan ke mahkamah hari ini, berdepan dengan empat tuduhan sama seperti yang lainnya.

"Mereka didakwa menyebabkan kerosakan hartabenda di kuil Batu Caves, termasuk pintu depannya dan kereta," kata peguam Rajpal Singh, salah seorang peguam tertuduh.

Mereka juga didakwa cuba membunuh seorang anggota polis, Dadi Abdul Rani.

Ditangguh hingga esok

Rajpal, yang juga pengerusi biro bantuan guaman Majlis Peguam Selangor berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang mewakili pihak pendakwaraya membantah mereka dibenarkan ikatjamin.

Mahkamah belum membuat keputusan mengenainya kerana kes itu ditangguhkan hingga pagi esok untuk memboleh Abdul Gani berhujah, kata seorang lagi peguambela M Manoharan.

"Mereka akan ditahan reman sehingga pagi esok," tambahnya.

Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, mereka boleh dihukum 20 tahun penjara jika mengakibatkan kecederaan. Manakala mengikut Seksyen 440 pula, mereka boleh dihukum hingga lima tahun penjara dan didenda.

Mereka juga boleh dihukum penjara sehingga setahun dan denda maksima RM10,000 bagi tuduhan menyertai perhimpunan haram.

Kira-kira 30,000 orang - sebahagian besarnya kaum India - menyertai perhimpunan anjuran Hindraf pada 25 November lalu.

Pihak polis yang menolak permohonan mendapatkan permit bagi perhimpunan tersebut, melepaskan tembakan gas pemedih mata dan pancutan air untuk menyuraikan orang ramai.

Tidak hadir

Dalam satu lagi perkembangan, 10 orang yang menyertai perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November lalu, yang dijangka didakwa hari ini, tidak hadir di mahkamah.

Menurut peguam mereka, Zulqarnain Lukman, kesemua mereka sebelum ini diarahkan supaya melaporkan diri semula di balai polis pada 10 Disember dan ini dinyatakan dalam ikatjamin mereka.

Bagaimanapun, seorang pegawai polis menghubungi mereka pada hari Ahad dan memberitahu mereka supaya datang ke balai polis hari ini kerana mereka mungkin didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan menyertai perhimpunan haram.

"Mereka memutuskan untuk tidak pergi kerana mereka tidak dimaklumkan secara rasmi dan mereka akan berpegang pada tarikh 10 Disember untuk melaporkan diri di balai polis," kata Zulqarnain. Berita asal