Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Kedutaan AS jamin rakyat Malaysia ditahan Israel dibawa pulang segera’

Amerika Syarikat (AS) memberi jaminan 23 rakyat Malaysia yang ditahan Tentera Pertahanan Israel (IDF) dalam misi Global Sumud Flotilla (GFS) akan dibawa pulang dengan selamat, kata Ketua Pemuda PKR Kamil Munim.

Kamil berkata jaminan itu diberikan semasa pertemuan dengan wakil kedutaan AS di Kuala Lumpur petang ini.

"Alhamdulillah mereka telah menerima memorandum kita. Semalam kita rancang untuk hantar memorandum tapi telah disekat.

"Pihak kedutaan AS telah beri jaminan bahawa seluruh warga Malaysia yang kini sedang ditahan Israel akan pulang ke negara kita dengan kadar segera dan keselamatan akan diberikan kepada mereka," katanya ketika berucap pada himpunan anti-Israel berhampiran kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Semalam, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah ditahan tentera Israel.

Ketua Pengarah SNCC Sani Araby Abdul Alim Araby berkata pasukan perundangan Malaysia di Jordan berada dalam keadaan siap siaga untuk menjadi wakil dalam sebarang proses soal siasat serta tindakan susulan berkaitan.

Ketika protes di Kedutaan AS semalam, Kamil yang juga setiausaha politik Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan gagal untuk menyerahkan memorandum selepas pihak kedutaan enggan keluar menerimanya atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun pihak kedutaan kemudiannya menghubungi Kamil bagi menyatakan kesediaan untuk menerima memorandum berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS