LANGSUNG | PAS mengadakan demonstrasi di luar pusat beli belah Sogo hari ini atas dua sebab - untuk menunjukkan solidariti kepada misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), serta membantah Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Malaysiakini melaporkan secara langsung himpunan itu.
4.15pm, Sogo: Ahli Parlimen Jasin yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkifli Ismail, tampil mengakhiri himpunan dengan doa munajat dalam usaha memohon kesejahteraan dan pembebasan rakyat Palestin dan peserta Global Sumud Flotilla.
Dia juga mendoakan agar Donald Trump ‘membatalkan’ kehadirannya ke Malaysia serta pihak yang “bersama dengan” Presiden AS berkenaan ditimpa hukuman keras.
“Timpalah sekeras-kerasnya ya Allah dengan hukuman-Mu ke atas mereka yang bersama dengan Trump.
“Palingkan dari kami ya Allah, rakyat negara yang kami cintai daripada pelbagai kaum dan keturunan dari tangan-tangan Trump dan Zionis dan pengikut-pengikutnya di negara ini.
“Ya Allah lindungai negara ini, jangan yang suci dan bersih di negara ini dicemari oleh tapak kaki Trump dan pendukung Israel laknatullah,” katanya yang sebelum ini menarik perhatian ramai kerana membaca Qunut Nazilah di Dewan Rakyat.
Selepas bacaan doa itu, penganjur mengumumkan perhimpunan bersurai.
4 petang, Sogo: Apabila Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil giliran berucap, dia membangkitkan isu campur tangan AS yang menjejaskan kestabilan Timur Tengah sebagai alasan untuk rakyat Malaysia menolak kehadiran Donald Trump di negara itu.
Sebelum itu, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin menyatakan harapannya agar kerajaan sekarang akan kalah dalam PRU akan datang.

3.30pm, Sogo: PAS menyasarkan DAP dalam kritikannya terhadap pelan kerajaan menggubal Akta PSB. Setiausaha Agung PAS, secara sinis, menyindir DAP sebagai davelopers action party (parti tindakan pemaju) sempena menteri yang membawa ranng undang-undang tersebut – Nga Kor Ming – merupakan pemimpin parti berkenaan.
Tidak cukup dengan itu Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menggelar Akta PSB sebagai urban robbery act (Akta Perompakan Bandar).

3.10 petang, Sogo: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin menggesa Anwar Ibrahim meletak jawatan atas kebimbangan berkembar – penggubalan Akta PSB dan lawatan Presiden AS Donald Trump ke Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Dalam ucapannya Hamzah sempat ‘menasihatkan’ perdana menteri supaya tidak berjuang untuk kepentingan pemaju.
Dia yang juga Timbalan Presiden Bersatu menambah, Anwar wajar menarik balik jemputan negara untuk Trump.
2.45 petang, Sogo: Peguam pembangkang, Rafique Rashid Ali, menyeru semua rakyat Malaysia untuk menolak Akta PSB kerana menganggap kesan daripada undang-undang itu akan merugikan bukan saja orang Melayu malah bangsa lain.
Katanya, melalui Akta PSB, pihak yang mendapat manfaat ialah kapitalis.
2:40pm, Sogo: Seorang peserta perhimpunan dilihat mengagihkan baju berwarna hitam secara percuma kepada orang ramai.
Semakan Malaysiakini mendapati pada baju T itu tertera tulisan ‘Tolak URA Pertahan Hak Rakyat.
Orang memberi sambutan dengan mengambil pakaian tersebut dan terus memakainya.

2.38 petang, Ipoh: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata dia sedia menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar yang dijadualkan minggu depan.
“Sebagai kerajaan yang prihatin terhadap rakyat, KPKT sentiasa mengamalkan pendekatan hati, minda dan pintu terbuka.
“Kami bersedia untuk mendengar pandangan membina semua pihak,” kataya dipetik The Star.
2.20 petang, Sogo: Kira-kira 3,000 penunjuk perasaan kini berhimpun di hadapan Sogo selepas ketibaan mereka yang berarak dari Masjid Jamek.
Acara dimulakan dengan ucapan daripada aktivis Kampung Sungai Baru Rafidah Ibrahim, yang menyamakan Akta PSB dengan penjajahan Israel di Palestin.

2.10 petang, Sogo: Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan tiba disambut dengan meriah.
Sebilangan penunjuk perasaan berbangsa Cina turut kelihatan menyertai bantahan tersebut bersama sepanduk mengecam Akta PSB.

2.00 petang, Sogo: Kira-kira 70 anggota unit Amal PAS berbaris di hadapan Sogo.
Orang ramai yang berada berhampiran dilihat memakai pakaian pro-Palestin sebagai tanda sokongan.
Kehadiran polis setakat ini agak sedikit. Pintu masuk utama ke kompleks Sogo sudah disekat.
1.50 petang, Masjid Jamek - Kira-kira 100 perserta Himpunan Bantah RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan solidiriti Global Sumud Flotilla bergerak dari Masjid Jamek dengan berjalan kaki menuju ke Sogo.
Rata-rata mereka mengenakan pakaian hitam sebagai warna tema himpunan dan membawa bendera Palestin.
Kapal-kapal GSF telah dipintas oleh tentera laut Israel ketika dalam perjalanan ke Gaza dan menahan peserta misi kemanusiaan itu.
Sementara bagi isu PSB, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata rang undang-undang itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua pada 6 Okt, meski ia mendapat bantahan meluas daripada pembangkang.
