Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Hamid Mohamad hari ini dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baru.

Manakala Tan Sri Zaki Azmi yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan tiga bulan lalu dilantik menggantikan Abdul Hamid sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Peningkatan mendadak Zaki dalam badan kehakiman dijangka menarik perhatian ramai pihak.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenan pelantikan Abdul Hamid dan Zaki selepas berbincang dengan Majlis Raja-Raja, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan.

Abdullah berkata, pelantikan Abdul Hamid' berkuatkuasa 1 November manakala tarikh kuatkuasa pelantikan Zaki akan diputuskan kemudian.

Perdana Menteri menambah, Mahkamah Persekutuan sedang mengadakan perbincangan dengan Istana Negara mengenai bila watikah pelantikan akan diserahkan kepada mereka.

Abdul Hamid, 65, dilantik sebagai pemangku Ketua Hakim Negara selepas Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bersara pada 1 November, sewaktu tercetus kontroversi mengenai klip video Lingam. Ahmad Fairuz telah menafikan sebarang pembabitannya dalam isu tersebut.

Abdul Hamid dijangka memegang jawatan tersebut selama setahun sebelum bersara daripad perkhidmatan kehakiman.

Pelantikan Zaki pula sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dibuat selepas tiga bulan beliau menjadi peguam yang pertama yang dilantik terus sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini, hanya peguam Tan Sri Gopal Sri Ram pernah dilantik melepasi Mahkamah Tinggi apabila beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 1994.

Zaki sebelum ini pernah menjadi penasihat undang-undang Umno dan pengerusi jawatankuasa disiplin Umno.

Beliau juga pernah dilantik sebagai timbalan pengerusi panel rayuan disiplin Umno.

Zaki melepaskan jawatan tersebut pada 2005 berikutan perceraiannya dengan isteri keduanya, Nor Hayati Yahaya, yang berumur separuh daripada usianya.

Dengan Abdul Hamid akan bersara tahun ini, maka Zaki merupakan calon utama untuk mengisi jawatan tertinggi dalam badan kehakiman itu.

Sementara itu, dalam reaksinya, Majlis Peguam Malaysia menyuarakan rasa terkejutnya dengan pelantikan Zaki sebagai Presiden Mahkamah Rayuan "memandangkan terdapat calon-calon layak yang lain di segi senioriti dan perkhidmatan dalam badan kehakiman"

Lagi pula, kata Pengerusinya, Ambiga Sreenevasan, Zaki juga baru sahaja dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, begitu juga dengan kepentingan perniagaan Zaki sebelum ini dan pembabitannya dalam Umno.

Bagaimanapun, katanya, majlis tersebut yang mewakili kira-kira 13,000 peguam di semenanjung Malaysia berharap Zaki dapat menghilang sebarang tanggapan terhadapnya dengan menunjukkan integriti dan contoh yang baik dalam perkhidmatannya.

Sambil mengucap tahniah di atas pelantikan Abdul Hamid dan Zaki, Ambiga juga berkata pihaknya berharap akan wujudkan satu era kerjasama yang baru dengan badan kehakiman. Berita asal