Polis akan menyoal siasat bloger Jeff Ooi Isnin ini berhubung komen yang dibuatnya di stesen Televisyen Al-Jazeera mengenai perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) pada 10 November lalu.

Ketika dihubungi, Ooi berkata seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Persekutuan (CCID) telah menelefonnya hari ini untuk memaklumkan perkara itu kepadanya.

Siasatan itu dijalankan ekoran laporan polis yang dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Pertubuhan Seni Silat Ikatan Kalam Malaysia (Pikum) pada 17 November lalu.

Dalam laporan tersebut, mereka mendakwa, komen Ooi di Al-Jazeera itu berunsur hasutan, mencetuskan ketegangan kaum dan mencemarkan imej negara.

Menurut satu laporan akhbar, Ooi didakwa membuat kenyataan palsu kepada Al-Jazeera dengan mengatakan polis menggunakan kekerasan yang tidak perlu untuk menyuraikan mereka yang menyertai perhimpunan tersebut.

Tidak terperanjat

Ooi diminta hadir di ibupejabat CCID di Bukit Perdana, Kuala Lumpur Isnin ini untuk memberi kenyataan.

Bagaimanapun, bloger tersebut tidak terperanjat dengan perkembangan terbaru itu.

"Pihak berkuasa lebih memberi tumpuan kepada perkara seumpama itu, daripada kepada usaha melindungi rakyat," katanya.

Pada 10 November lalu, Ooi muncul di Al-Jazeera untuk mengulas secara langsung perhimpunan anjuran Bersih itu.

Ekoran itu, Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin mengecam stesen televisyen tersebut yang didakwa telah memperbesar-besarkan insiden tersebut.

Kira-kira 40,000 orang menyertai perhimpunan Bersih itu di mana satu memorandum telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong menuntut diadakan pilihanraya bersih dan adil.