Polis telah menahan Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Edmund Bon kerana didakwa menghalang pihak berkuasa tempatan daripada menjalankan tugas mereka menurunkan kain pemidang yang digantung di luar bangunan ibupejabat majlis tersebut.

Menurut saksi, Edmund ditahan pada kira-kira jam 12.45 tengahari kerana menghalang kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan kain pemidang mengenai hak asasi manusia di luar bangunan tersebut di Leboh Pasar Besar di Kuala Lumpur.

Majlis Peguam mengadakan "Festival Hak" sempena Hari Hak Asasi Manusia di bangunannya sendiri selepas polis berkeras meminta pihak penganjur supaya mendapatkan permit untuk mengadakan acara tersebut berhampiran Pasar Seni.

Sempena festival tersebut, Majlis Peguam telah memasang kain pemidang dan poster mengenai acara itu di bahagian luar bangunannya.

Edmund ditahan ketika beliau cuba menghalang kakitangan DBKL daripada menurunkan kain pemidang dari sebuah pondok festival.

Beliau telah dibawa ke ibupejabat polis Kuala Lumpur untuk disoalsiasat. Pihak penganjur juga menuduh polis mengganggu orang ramai yang datang untuk merayakan festival hak asasi manusia itu.

Difahamkan, polis akan menahan semalaman sebelum mendakwanya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok. Tidak dapat dipastikan apakah tuduhan yang akan dibuat terhadapnya.

Awal hari ini, lapan orang - termasuk lima orang peguam - ditahan kerana menyertai perarakan yang diadakan sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia. Mereka juga dibawa ke ibupejabat polis Kuala Lumpur untuk disoalsiasat.

Polis juga mengarahkan Majlis Peguam supaya memohon permit bagi mengadakan perarakan tersebut. Ia memaksa majlis tersebut membatalkan perarakan berkenaan tetapi beberapa orang peguam telah mengadakan perarakan mereka sendiri pagi tadi.

Majlis Peguam telah menganjurkan perarakan Hari Hak Asasi Manusia setiap tahun tanpa menghadapi sebarang masalah dari pihak polis. Berita asal