Siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) terhadap insiden rusuhan di Kuala Terengganu yang dijadual diadakan pada 14 hingga 16 Disember depan, kini menjadi tandatanya.

Ini berikutan dua lelaki yang cedera terkena tembakan anggota polis dalam insiden tersebut pada 8 September lalu - Suwandi Ab Ghani, 38, dan Muhammad Azman Aziz, 21 - telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Terengganu semalam.

Azman dan Suwandi di dituduh sengaja menyebabkan kecederaan anggota polis, Wan Abdul Aziz Wan Omar di Jalan Sultan Mahmud, Batu Buruk, Terengganu.

Mereka berdua juga didakwa bersama 18 orang lain ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis menjalankan tugas.

Polis mendakwa, Wan Abdul Aziz melepaskan tembakan kerana mempertahankan dirinya selepas diserang oleh sekumpulan orang ramai.

Hakim Hassan Abdul Ghani tidak membenarkan Azman dan Suwandi diikatjamin dan menetapkan perbicaraan mereka diadakan pada 30 Disember depan.

Suhakam masih bincang

Ketika dihubungi, seorang wakil Suhakam mengesahkan bahawa suruhanjaya itu masih berbincang sama ada hendak meneruskan siasatan awam ekoran perkembangan terbaru itu.

Penolong Setiausaha Bahagian Aduan dan Siasatan Suhakam, Shahizad Sulaiman berkata suruhanjaya itu masih menunggu maklumat dari pihak polis.

Beliau menambah, Suhakam tidak boleh membuat keputusan berasaskan kepada laporan media semata-mata.

Suruhanjaya itu dijangka membuat pengumuman mengenainya dalam tempoh beberapa hari lagi.

Siasatan tiga hari itu dijadual diadakan di Primula Beach Resort di Kuala Terengganu, dengan dipengerusikan oleh Suruhanjaya Suhakam, Datuk Muhammad Shafee Abdullah. Dua lagi anggota panel tersebut ialah Datuk Asiah Abu Samah dan Prof Datuk Khoo Kay Kim.

Bernama memetik Muhammad Shafee sebagai berkata, panel tersebut akan menyiasat dakwaan penggunaan peluru hidup oleh seorang anggota polis sewaktu insiden tersebut.

Pihak polis telah dikecam kerana mengggunakan kekerasan, termasuk melepaskan lima peluru hidup, untuk menyuraikan orang ramai.

Tujuh orang tercedera, termasuk dua orang akibat terkena tembakan, selepas polis bertindak menghalang satu ceramah diadakan di situ.

Menurut polis, kumpulan kira-kira 500 orang telah membaling batu dan bom api ke arah anggota polis. Berita asal