Tujuh belas orang, termasuk dua pemimpin pembangkang - Tian Chua, Mohamad Sabu dan N Gobalakrishnan - dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram berhubung perhimpunan rakyat anjuran Bersih pada 10 November lalu.

Di samping itu, kesemua mereka, kecuali Tian Chua dan Mohamad Sabu, turut menghadapi tuduhan kedua, iaitu tidak mematuhi arahan polis supaya bersurai.

Penyokong Bersih itu, semuanya didakwa mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Polis, minta dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ali Yusoff membenarkan ikatjamin antara RM1,000 dan RM5,000 seorang walaupun dibantah keras oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail yang mengetuai pendakwaan.

Kes tersebut ditetapkan didengar pada 11 hingga 13 Februari tahun depan.

Tian Chua - ketua penerangan PKR - dan Mohamad Sabu - naib presiden PAS - dibenarkan ikatjamin maksimum serta seorang penjamin setiap seorang, manakala Gobalakrisnan dikenakan ikatjamin RM3,000.

Tian Chua dan Mohamad Sabu ditahan semalam, masing-masing di Johor Bahru dan Ipoh dan dibawa ke Kuala Lumpur untuk didakwa di mahkamah. Berita asal