Tujuh orang terbunuh dalam satu kemalangan membabitkan bas persiaran, dalam satu lagi kemalangan maut yang berlaku di Plaza Tol Jelapang, Lebuh Raya Utara-Selatan, awal pagi semalam.

Plaza tol itu, yang turut digelar "plaza tol maut", sejak pembukaannya pada September 1987 telah menyaksikan lebih 140 kemalangan maut berlaku di situ dan meragut 142 nyawa.

Dalam kejadian hari ini, bas yang membawa rombongan Wanita Umno Bahagian Kuala Kedah, untuk bercuti di Cameran Highlands merempuh belakang sebuah lori tangki yang membawa muatan susu getah di Plaza Tol Jelapang menghala ke selatan pada pukul 4 pagi, meragut nyawa pemandu bas, pemandu kedua dan lima penumpang.

Menurut laporan Bernama, 28 penumpang lain cedera, empat daripadanya parah dirawat di Hospital Ipoh. Dua puluh penumpang dimasukkan ke hospital manakala lapan lagi diberi rawatan pesakit luar.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat terpaksa menggunakan pintu kecemasan di belakang bas berkenaan bagi menyelamatkan penumpang, yang terperangkap dalam bas, dan mengeluarkan mayat mangsa.

"Penumpang terperangkap di antara kerusi di dalam bas yang tertanggal menyebabkan ia tercampak ke bahagian hadapan bas.

"Penumpang tertolak ke bahagian hadapan bas dan menyebabkan mereka menghempap antara satu sama lain. Mereka panik dan kesemua mereka berada dalam keadaan terkejut dan trauma," katanya.

Pemandu terbunuh

Dua mayat mangsa, seorang lelaki dan seorang lagi wanita, tersepit pada bahagian tayar hadapan bas.

Polis mengenal pasti pemandu bas sebagai Lim Teh Lee, 49, dan pemandu kedua, Saad Salleh, 45. Penumpang yang terbunuh dikenali sebagai Siti Rosedah Ibrahim, 46, Puteh binti Mat Isa, Mohamad Hussin, 50, anak perempuannya berusia 15 tahun Nur Shuhadah dan Dahara Mohamad, 58.

Empat mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan adalah Che Som Yusoff, 51, Halijah Hanafiah, 52, Sipah Sulaiman, (umur tidak dinyatakan) dan seorang lelaki yang identitinya belum diketahui.

Mangsa lain adalah Fatihah Shafie, 14; Zurina Nayan, 47; Mohd Aminuddin Ramli, 20; Fatimah Rojaan, 40; Hakis, 8; Hasiah Lebai Cha, 53; Rohani Hashim, 56; Umi Kalsom Wan Dollah, 16; Mohd Shukri Hasin, 8; Haminah Nikmat, 56; Nurfazilah Abdullah, 14; Mohd Muhsi Ahmad, 11; Faridah Mohd Nor, 44; Nurhashimah Mohd, 18; Shamshum Ishak, 52.

Mastura Izzati Mat Isa, 17; Shahhasliza Hussein, 22; Habibah Yaakub, 33; Yom Wahab, 52; Assariza Derani, 38; Siti Aishah Saidin, 17; Normah Hanafi dan dua wanita, yang identiti mereka belum diketahui.

Pemandu lori tangki berusia lingkungan 40-an, bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Lepas sahaja terowong itu, bas memang laju. Bila nak dekat sampai (plaza tol) tiba-tiba orang depan menjerit...brek tak makan. Makcik duduk bahagian tengah, lepas bas rempuh lori depan, habis bahagian depan dan kusyen yang makcik duduk pun rapat dengan bumbung bas," katanya.