Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Mesti ada orang arah, you dah rosak’ - Wan Saiful dedah audio siasatan
Diterbitkan:  Nov 3, 2025 1:17 PM
Dikemaskini: 7:18 AM

Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan mendedahkan rakaman suara prosiding Lembaga Disiplin Bersatu bagi membuktikan sasaran utama badan itu adalah Timbalan Presiden, Hamzah Zainuddin.

Rakaman audio yang diedar kepada media itu mendedahkan prosiding pada awalnya sedikit tegang dengan ahli Lembaga Disiplin "memberi kuliah" terhadap tindakan Wan Saiful yang didakwa boleh menjejaskan parti.

"There must be somebody yang arahkan you (Mesti ada seseorang yang arahkan kamu). Siapa yang betul-betul merosakkan you.

You dah rosak, rosak sebab pecahkan parti," kata Pengerusi Lembaga Disiplin Radzi Manan.

Radzi Manan

Suasana sedikit tegang apabila Wan Saiful mempertahankan tindakannya dengan berkata apa yang dilakukannya tidak memecahbelahkan parti.

Bagaimanapun Radzi tetap mempertahankan kenyataannya bahawa Wan Saiful telah "rosak".

Wan Saiful kemudian bertanya sama ada terdapat komplot di sebalik prosiding terhadap mereka, menyebabkan Radzi menolaknya.

Radzi malah mendedahkan bahawa Lembaga Disiplin turut memanggil Hamzah.

Hamzah (tengah) dan Muhyiddin dalam mesyuarat agung Bersatu

Pada prosiding yang berlangsung pada 8 Okt itu, dia malah mendakwa anggota parlimen Larut mahu menjadi perdana menteri.

Pada 14 Okt Wan Saiful dipecat daripada Bersatu manakala Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang) digantung keahliannya selama satu penggal.

Selain itu, empat lagi ketua bahagian Bersatu dikenakan tindakan oleh badan disiplin, iaitu Mohd Azrudin Md Idris dari bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang).

Sementara itu, menerusi rakaman audio itu juga, Wan Saiful mempersoal Radzi kerana mengaitkan Hamzah dengan kes mereka.

"I called Hamzah, itu ertinya I nak bercakap macam ni dengan dia. Nampak tak? I nampak dah dia rasa dia nak jadi PM (perdana menteri).

"There are process to be PM (Ada proses untuk jadi PM). Dah tak nampak dah beramai-ramai dengan ahli parti dia, yang dia (Hamzah) nak pergi dengan PAS," kata Radzi.

Wan Saiful bagaimanapun membantah kenyataan Radzi yang mengaitkan Hamzah dalam prosiding berkait dengannya.

"Saya rasa tak adil untuk dikaitkan (Hamzah) sebab ini pertuduhan mengenai saya," kata Wan Saiful.

Bagaimanapun Radzi menjawab: 

“Tak, tak, tak, memang saya nak kaitkan. I want to see who is responsible. (Saya nak lihat siapa bertanggungjawab)."

Pada 30 Okt lalu, Anggota Parlimen Machang Wan Fayhsal, yang digantung keahlian, mendedahkan Hamzah merupakan sasaran utama Lembaga Disiplin Bersatu.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen, Wan Fayhsal mendakwa sesi soal siasat oleh Lembaga Disiplin Bersatu terhadap mereka banyak tertumpu kepada Hamzah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS