mk-logo
Berita
Bersatu nafi dakwaan beri 'peluang kedua' pada ahli dipecat, digantung
Diterbitkan:  Nov 7, 2025 10:01 AM
Dikemaskini: 8:56 AM

Bersatu menafikan dakwaan kononnya presiden parti Muhyiddin Yassin memberi “peluang kedua” kepada pemimpin yang digantung atau dipecat.

Sebaliknya Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz (gambar bawah) menegaskan mereka masih perlu melalui proses rayuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.

Jelasnya mengenai layanan istimewa terhadap individu yang dikenakan tindakan disiplin tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti pada 4 November lalu.

“Laporan yang memetik kenyataan 'sumber dalaman' parti bahawa perkara ini ada dibincangkan dalam Mesyuarat MPT adalah tidak benar dan mengelirukan.

“Berdasarkan perlembagaan parti Fasal 22.6, mana-mana ahli yang didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman oleh Lembaga Disiplin boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Seterusnya, Lembaga Rayuan akan mempertimbangkan dan memutuskan kedudukan rayuan yang dibuat berdasarkan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepadanya oleh perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

‘Semak keputusan Lembaga Disiplin’

Dakwaan itu timbul susulan keputusan Lembaga Disiplin Bersatu pada 14 Oktober, yang menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk satu penggal, serta memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.

Empat ketua bahagian Bersatu turut dipecat oleh parti gabungan PN itu.

Lembaga Disiplin Bersatu pada kenyataannya sebelum ini menyatakan para pemimpin berkenaan didapati bersalah melanggar kod etika dan tatakelakuan serta perlembagaan Bersatu.

Walaupun lembaga itu tidak memperincikan bentuk pelanggaran tersebut, dipercayai bahawa pemecatan Wan Saiful dan empat ketua bahagian terbabit berkaitan dengan usaha terbaru untuk menekan Muhyiddin supaya menyerahkan kepimpinan parti kepada timbalannya, Hamzah Zainudin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS