Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran telah digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama empat hari.

Timbalan Speaker, Datuk Lim Si Cheng membuat arahan tersebut selepas bertelingkah dengan Kulasegaran berhubung kehadiran Speaker dan dua timbalannya ketika dewan membincangkan Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan)(Pindaan).

Rang undang-undang itu dibentangkan untuk meminda imbuhan bagi Speaker dan dua timbalannya.

Kulasegaran berpendapat kehadiran mereka tidak sesuai kerana perbahasan tersebut adalah mengenai gaji mereka.

Lim menjelaskan bahawa beliau tidak menyertai perbahasan tersebut, tetapi hanya mempengerusikan sidang dewan.

Bagaimanapun, Kulasegaran terus membangkitkan perkara itu dan mendapat sokongan rakan-rakannya daripada DAP, menyebabkan keadaan menjadi kecoh antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Lim tidak dapat mengawal keadaan dan mengarahkan Kulasegaran keluar dari dewan, selepas mengeluarkan arahan penggantungan empat hari ke atas ahli Parlimen DAP itu, mengikut Perintah Tetap 44(2).

Katanya, beliau membuat keputusan menggantung Kulasegaran dengan hati yang berat, sambil menambah, jika ahli Parlimen DAP itu tidak puashati, beliau boleh mengemukakan usul mengenainya.

Apabila Kulasegaran enggan meninggal dewan, Lim kemudiannya meminta pegawai dewan supaya membawa ahli Parlimen DAP itu kelluar dewan.

Idris Harun (BN-Tangga Batu) dan Razali Ibrahim (BN-Muar) turut menasihatkan Kulasegaran supaya menghormati keputusan Lim dan meninggalkan dewan seperti yang diarahkan.

Lim kemudiannya menangguhkan persidangan selama 30 minit untuk menenangkan keadaan.

‘Hak untuk tidak setuju’

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Kulasegaran berkata, beliau tidak ada sebarang masalah dengan Speaker dan timbalannya, tetapi merasakan beliau perlu membetulkan perkara tersebut.

“Beliau mungkin betul dan mungkin salah. Tetapi malangnya, beliau menjawab perkara tertentu yang sepatutnya dijawab oleh menteri,” katanya.

“Saya mungkin tidak disukai oleh Speaker, tetapi itu bukan halnya. Beliau mesti menjalankan tugasnya tanpa sebarang rasa takut. Saya tidak kisah kalau beliau mahu membuang saya keluar kerana rakyat di kawasan saya yang akan membuat keputusan,” katanya.

Kulasegaran, yang juga seorang peguam, berkata beliau mempunyai hak untuk bersetuju atau tidak bersetuju dalam isu-isu tertentu dan beliau akan terus menyuarakan pandangannya selepas penggantungan ke atasnya berakhir. Berita asal