Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Kg Papan: Kerajaan Selangor berbohong, kata Arutchelvan
Diterbitkan:  Nov 15, 2025 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan, mendakwa kerajaan Selangor berbohong bagi melakukan 'damage control" dalam isu pengusiran Kampung Papan di Pandamaran, Klang.

“Menteri Besar, (ahli exco negeri Selangor bagi perumahan) Borhan Aman Shah, dan seluruh ahli majlis eksekutif negeri Selangor… tidak seorang pun datang ke Kampung Papan dalam tempoh lima hari yang lalu.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (Pandamaran) (Leong Tuck Chee) adalah satu-satunya yang hadir, dan beliau sendiri kerap mengadu bahawa menteri besar tidak memberi sebarang respons,” kata Arutchelvan dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, berkata isu itu menjadi rumit dari segi undang-undang selepas pihak terlibat membawa perkara itu ke mahkamah berbanding mencari penyelesaian secara rundingan.

Dia berkata langkah itu akhirnya menghalang usaha kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Amirudin turut mendakwa pemaju bersedia menyediakan tapak alternatif, tetapi ada pihak memilih untuk membawa isu itu ke mahkamah.

Dalam satu kenyataan semalam, Borhan mendakwa bahawa pemaju, dalam mesyuarat pada 21 Okt, telah berjanji untuk merobohkan hanya rumah kosong di Kampung Papan.

Bagaimanapun, dia tidak mengulas mengenai aduan dan kemarahan penduduk serta aktivis berhubung laporan menyatakan rumah yang masih diduduki turut dirobohkan.

‘Dikhianati, diperlekeh’

Arutchelvan berkata penduduk Kampung Papan akan mengadakan sidang media pada Isnin ini untuk membincangkan beberapa isu yang melibatkan mereka.

“Penduduk Kampung Papan bukan sahaja telah dikhianati oleh kerajaan negeri, mereka juga diperlekehkan melalui kenyataan MB,” tambahnya.

Semalam, mahkamah menolak permohonan reman oleh polis terhadap ahli dan aktivis PSM yang ditahan ketika membantah pengusiran tersebut.

Bagaimanapun, enam lagi individu ditahan semalam, termasuk Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, Chong Yee Shan, dan Koordinator Dokumentasi & Pemantauan Suaram, Jernell Tan.

Kesemua yang ditahan pihak berkuasa dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira 5 petang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS