Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dua premis perniagaan disita lepas guna logo halal tak sah

Dua premis perniagaan di Kelantan disita selepas dikesan menggunakan logo halal tanpa sijil pengesahan sah, dalam satu operasi bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) kelmarin.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata operasi itu memfokuskan pemeriksaan perakuan dan penandaan halal, termasuk premis yang menjual produk kopi kesihatan, bagi memastikan pengguna tidak terpedaya dengan logo halal yang dipamerkan tanpa kelulusan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis memaparkan logo halal pada produk yang dijual tanpa sijil pengesahan daripada JAHEAIK. Kes ini direkodkan di bawah Perintah 8(a), Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, iaitu kesalahan memperakukan makanan atau perkhidmatan sebagai halal tanpa dokumen pengesahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata premis pertama di Kampung Kubang Kacang disita dengan nilai rampasan RM3,513.24, manakala premis kedua di Kampung Penambang dirampas bernilai RM1,410.

Dia berkata KPDN akan menjalankan siasatan lanjut terhadap pemilik premis sebelum tindakan mahkamah diambil.

Katanya lagi, KPDN Kelantan bersama agensi berkaitan akan meneruskan operasi untuk memastikan peniaga mematuhi undang-undang serta mengekalkan integriti penggunaan logo halal di negeri itu.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS