Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Boleh tarik tauliah’ - penceramah diingatkan tak langgar etika, moral

Pihak berkuasa agama negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi perhatian serius terhadap isu penceramah melanggar syarat atau etika ketika mengajar di masjid serta surau.

“Mana-mana yang melanggar etika dan moral, tauliah mereka tidak akan diperbaharui dan mereka juga boleh dikenakan tindakan,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.

Katanya, ekosistem tauliah itu dimestikan agar hanya mereka yang benar-benar berilmu dapat menyampaikan dengan penuh keikhlasan.

Terdahulu Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) meminta penjelasan Zulkifli mengenai tindakan kepada penceramah yang menyebar fitnah di masjid dan surau.

Sany mengaitkan perkara itu dengan Awang Hashim (PN-Pendang) dan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang didakwa membuat fitnah kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Dewan Rakyat kemudian sedikit kecoh apabila soalan tambahan itu mencetuskan bantahan beberapa wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).

Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) meminta Timbalan Speaker, Ramli Mohd Nor mempertimbangkan tindakan terhadap Sany kerana didakwa membuat sangkaan jahat kepada Awang dan Takiyuddin.

"Saya minta petua adakah ia dibenarkan dalam mengajukan soalan," katanya.

Namun, Ramli yang mempengerusikan sesi pertanyaan bagi jawab lisan memutuskan tidak mengambil tindakan kerana Fadhli tidak mempunyai locus standi kerana bercakap bagi orang ketiga.

"Kalau yang bangkitkan tadi Pendang sendiri, jadi kemungkinan besar saya akan memberi amaran atau hukum (Sany)," jelas Ramli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS