PRN SABAH | Bekas Setiausaha Agung Umno dan BN, Annuar Musa, menceritakan bagaimana dia “terdiam” selepas mendengar semakin ramai orang Sabah meninggalkan BN.
Kini giat berkempen untuk memenangkan PN, Annuar berkata, ketika ini BN bukan lagi pilihan utama para pengundi di Sabah.
Kata Annuar pagi tadi dia bersama penyokong PN bersarapan di Kuala Menggatal bagi mengiringi calon parti itu, Aliakbar Gulasan – yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah – bertemu dengan para pengundi di kawasan DUN Karambunai.
Apabila selesai bersarapan, kata Annuar, mereka melawat rumah-rumah di sekitar kampung berkenaan dan satu cerita yang banyak didengarnya ialah sebab penduduk terbabit “semua meninggalkan BN”.
“Hati saya bercampur-baur. Saya banyak mendengar dan berfikir. Perasaan sedih bercampur gembira kerana saya juga di takdirkan begitu.
“Yang pasti, BN tidak lagi pilihan utama, malah semakin dilupakan,” katanya dalam kemas kini di media sosial.
Annuar yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PAS untuk PRN Sabah juga menceritakan bagaimana seorang lelaki bekas penyokong BN di Menggatal meluahkan rasa kecewa kepada wakil rakyat di situ.

Annuar yang tidak dicalonkan mewakili BN dalam PRU ke-15 lalu berkata, lelaki terbabit hilang kepercayaan kepada parti tersebut apabila tidak berkhidmat dengan baik selepas menang.
"Ini karan (elektrik), jalan dan titi kampung, air bersih – semua bawah kementerian luar bandar tidak juga peduli. Apa mau fikir lagi bah?" petik Annuar dalam hantaran tersebut.
Kata-kata itu nampaknya meninggalkan kesan kepada Annuar.
Dia yang pernah menjadi menteri pembangunan luar bandar antara 1993 hingga 1999 berkatam suatu ketika dulu – semasa BN menjadi kerajaan – pembangunan yang dibawa adalah hebat.
Namun, katanya, keadaan sekarang adalah berbeza apabila BN sekadar menjadi “pelengkap” saja kepada kerajaan.
“Kini BN tidak seperti dulu, (sebaliknya) sekadar mengangkat orang lain jadi perdana menteri, dan hanya pelengkap saja. PKR dan DAP berkuasa.
“Baru saya faham apabila seorang anak muda Sabah berkata: Tiada sebab lagi mau pilih BN sekarang. Tidak seperti dulu sudah BN itu bah,” katanya.
