Dua sungai utama di Kelantan yang dipantau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri itu merekodkan status melebihi tahap waspada setakat jam 12.45 tengah hari tadi.
Menurut laman web rasmi Public Infobanjir JPS, Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang mencatatkan bacaan 58.11 meter iaitu melebihi tahap waspada 56 meter, namun menunjukkan trend menurun.
Sungai Lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai pula merekodkan paras 31.08 meter, melebihi tahap waspada 30 meter.
Tinjauan Bernama di Sungai Kelantan dan Sungai Golok di Rantau Panjang mendapati paras air sungai berkenaan menunjukkan peningkatan susulan hujan lebat berterusan yang direkodkan pada tahap waspada.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Kelantan dan Terengganu sehingga Rabu ini.
- Bernama
