Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri menyangkal dakwaan bahawa Malaysia campur tangan dalam ketegangan diplomatik di antara Thailand dengan Kemboja baru-baru ini, sebaliknya menegaskan kerajaan hanya bertindak sebagai pemudah cara dialog ke arah penyelesaian lebih baik.

Menurut Anwar Ibrahim penglibatan Kuala Lumpur hanyalah berdasarkan kedudukan sebagai negara jiran yang rapat dan dipercayai, malah kerajaan tidak pernah menentukan cara Bangkok dan Phnom Penh menyelesaikan isu kedua-dua negara terbabit.

"Biar saya jelaskan. Pertama, sebagai jiran, kita sememangnya prihatin, tetapi kita tidak terlibat dan juga tidak memberikan sebarang preskripsi tertentu tentang kaedah yang perlu untuk mencapai penyelesaian," katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang media di Johannesburg, Afrika Selatan hari ini.

Anwar, yang juga Pengerusi Asean 2025 berkata peranan Malaysia terhad kepada membolehkan pegawai utama dari kedua-dua negara berkomunikasi, termasuk memudah cara perbincangan antara panglima angkatan tentera dan menggalakkan hubungan antara menteri luar masing-masing.

"Saya hanya bercakap dengan kedua-dua perdana menteri untuk bertanya sama ada mereka boleh berbincang atau tidak. Mereka menetapkan parameter sendiri dan menentukan isu-isunya," kata Anwar.

Dia juga menambah Presiden AS Donald Trump juga bercakap dengan kedua-dua pihak semasa proses berkenaan.

Menurut perdana menteri usaha Malaysia dibuat berpandukan kepercayaan kukuh kedua-dua negara terhadap Putrajaya sebagai rakan yang dapat membantu membuka saluran komunikasi apabila diperlukan.

"Kita hanya cuba berhubung dengan kedua-dua pihak kerana mereka menganggap kita sebagai sahabat," katanya.

Sehubungan dengan itu, Anwar berkata, tidak tepat bagi sesiapa di Thailand menggambarkan peranan Malaysia sebagai suatu bentuk campur tangan.

"Saya tidak tahu pertimbangan politik dalaman mereka, tetapi untuk mencadangkan bahawa kita campur tangan adalah tidak benar, tidak mungkin kita masuk campur," katanya.

Anwar berkata Bangkok dan Phnom Penh mempunyai legitimasi, keupayaan dan hak kedaulatan untuk menyelesaikan masalah negara mereka sendiri, dan ia dihormati sepenuhnya oleh Malaysia.

Bagaimanapun, Anwar berkata, dia percaya topik itu akan menjadi perbincangan semasa lawatan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul, ke Malaysia.

"Lawatan itu ialah rundingan bersama yang biasa antara pemimpin dua negara, tetapi saya pasti beliau akan menyatakan perkara ini dan saya fikir selaras dengan pendiriannya, rakyat Thai tentunya mahu melindungi sempadan mereka.

"Saya akan mendengar pandangan beliau dan memudah cara jika perlu, namun yang penting adalah untuk memastikan keamanan," katanya.

Sementara itu Anwar berkata dia telah bertemu dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Phạm Minh Chính, yang mahu mempercepat Grid Tenaga Asean dari Vietnam ke Singapura.

"Selepas itu, Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong mengingatkan bahawa mesyuarat dua hala pada Dis ini perlu lebih substantif dalam menyelesaikan beberapa isu tertunggak," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS