Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Unipsas) mencatat sejarah apabila menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di Malaysia yang dijadikan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di luar premis milik Kementerian Pendidikan Malaysia, bagi calon persendirian.
Seramai 118 calon mula menduduki kertas peperiksaan SPM mereka di dewan utama IPT itu, hari ini.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Ahmad Zamri Md Isa berkata, KPM menerusi Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) meluluskan permohonan dan cadangan dikemukakan pihaknya kira-kira tiga tahun lalu.
"Proses penilaian tempat dilakukan pegawai daripada LPM terlebih dahulu dan memang mengambil masa hampir tiga tahun juga sebelum mendapat kelulusan.
"Untuk makluman, dewan (utama) ini boleh memuatkan sehingga 200 calon dan bagi pelaksanaan kali pertama tahun ini, kita mempunyai 118 calon persendirian dari seluruh Pahang yang menduduki peperiksaan mereka di sini.
"Saya amat berpuas hati dan merakamkan penghargaan kepada pihak Unipsas atas kesediaan mereka bekerjasama dengan JPN Pahang dalam menyediakan segala kemudahan bagi calon terbabit," katanya ketika ditemui selepas meninjau proses peperiksaan di dewan IPT itu, dekat Kuantan, pagi tadi.

Turut sama dalam tinjauan itu adalah Naib Canselor Unipsas, Profesor Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Sementara itu, Mohd Zawavi memaklumkan, selain menyediakan kemudahan dewan peperiksaan, Unipsas juga menawarkan kolej kediaman untuk calon persendirian dari luar Kuantan.
"Kami memiliki lebih 1,000 bilik (asrama) dan kebetulan semasa peperiksaan SPM, pelajar kita tengah cuti semester, jadi untuk memudahkan mereka, boleh mohon untuk tinggal di asrama sepanjang peperiksaan berjalan.
"Tujuan utama adalah untuk memastikan setiap calon dapat mengambil peperiksaan dan sampai ke dewan tepat pada masa.
"Sekarang pun sudah mula musim tengkujuh, hujan dan mungkin berlaku banjir. Jika keadaan ini berlaku, ada laluan akan terputus (tidak boleh dilalui).
"Jadi, mereka tinggal di asrama dan jarak untuk ke dewan pun dekat, memudahkan pergerakan mereka," katanya.
Dia juga memberitahu, pihak Unipsas sedia menawarkan satu lagi dewan untuk dijadikan pusat peperiksaan SPM bagi calon persendirian.
Katanya, dewan itu berada dalam kawasan kampus utama Unipsas dan mampu memuatkan sehingga 50 calon.
"Untuk jangka panjang, kita juga akan berbincang dengan JPN Pahang bagi menawarkan dewan dimiliki Unipsas untuk calon persendirian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan ia bergantung kepada kelulusan LPM," jelasnya.
