Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ribut, hujan lebat berterusan dijangka badai utara Semenanjung
Diterbitkan:  Nov 26, 2025 4:01 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di negeri-negeri utara Semenanjung susulan pembentukan ribut tropika berhampiran kawasan berkenaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata ketika cerapan pada 11 pagi tadi, ribut itu dikesan berada di latitud 4.5 utara dan longitud 97.9 timur, kira-kira 309 kilometer (km) ke tenggara Bandar Acheh, Indonesia, dan 284 km ke barat daya George Town, Pulau Pinang.

MetMalaysia dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan ribut tersebut dijangka bergerak ke arah barat-barat daya dengan kelajuan sembilan km/j, dan berpotensi mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 83 km/j.

Orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat Monsun Timur Laut dan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan MetMalaysia melalui laman web rasmi di www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline 1-300-22-1638.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS