Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PN ajak pengundi Sabah 'pertahan kebenaran' Sabtu ini
Diterbitkan:  Nov 26, 2025 7:00 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

PRN SABAH |  Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee, menggesa rakyat negeri itu “bangkit mempertahankan kebenaran” dengan mengundi calon parti tersebut Sabtu ini.

Dia yang juga Naib Presiden PN turut menggambarkan PRN kali ini sebagai peluang untuk penduduk Sabah “mengembalikan kekayaan negeri” tersebut ketika skandal melibatkan dakwaan rasuah mineral semakin memuncak.

Kata Ronald, pendedahan terkini oleh ahli perniagaan Albert Tei – yang mengaitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melalui bekas setiausaha politik kanannya, Shamsul Iskandar Mohd Akin – telah “membuka mata” rakyat Sabah.

“Melalui pendedahan ini, rakyat Sabah akhirnya dapat melihat bahawa kenyataan perdana menteri sebelum ini, termasuk yang dibuat di parlimen, bercanggah dengan prinsip ketelusan, dan jelas mahu melindungi serta menyelamatkan beberapa pemimpin dalam gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Dia menambah PN akan terus menuntut pertanggungjawaban penuh tanpa mengira kedudukan politik mana-mana pihak yang terlibat.

“Saya menyeru seluruh rakyat Sabah bangkit mempertahankan kebenaran dan mengembalikan kekayaan negeri ini melalui peti undi dengan memberikan kemenangan kepada calon PN pada 29 Nov ini.

“PN berikrar untuk mempertahankan kebenaran berkaitan keseluruhan skandal ini dan memastikan setiap individu yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan, tanpa mengira pangkat, gelaran atau kedudukan,” katanya.

Semalam, Tei memberitahu Malaysiakini yang dia membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul Iskandar selepas mendakwa diberi jaminan bahawa wang itu boleh diperoleh semula melalui bayaran yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.

Antara perbelanjaan yang didakwa ditanggung Tei termasuk baik pulih, kelengkapan dan perabot dua kediaman masing-masing satu di Bangsar Putrajaya.

Tei juga mendakwa membelanjakan ribuan ringgit untuk cerut kelas premium dan menempah beberapa sut khas untuk Shamsul Iskandar dengan menyediakan salinan resit serta ukuran badan sebagai "bukti".

Tei turut berkongsi kepada Malaysiakini tangkap layar WhatsApp dari Disember 2023 yang didakwa menunjukkan Shamsul Iskandar meminta wang untuk ke luar negara.

Shamsul Iskandar meletak jawatan sebagai setiausaha politik Anwar semalam dan berikrar akan mempertahankan diri daripada dakwaan yang dikenakan terhadapnya.

Bekas Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu juga mendakwa dia disasarkan bagi mencalar imej kerajaan.

Selepas peletakan jawatan tersebut, muncul satu video memaparkan seorang wanita yang mendakwa Anwar mengetahui rancangan Tei merakam pemimpin Sabah yang dikaitkan dengan skandal pelombongan.

Wanita itu didakwa sebagai proksi Shamsul Iskandar.

Dalam kenyataan hari ini, Anwar mengumumkan dia menerima peletakan jawatan Shamsul Iskandar dan memberi jaminan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuat tanpa sebarang campur tangan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS