ULASAN | Antara kejutan, tangisan di padang EPL
ULASAN SUKAN | Hari perlawanan ke-12 Liga Perdana Inggeris (EPL) telah melabuhkan tirainya. Beberapa perlawanan yang dinanti-nantikan oleh peminat di Malaysia berlangsung. Ada keputusan yang menepati ramalan dan ada juga keputusan disambut dengan tangisan.
Arsenal yang kini menjadi calon ‘favourite’ menjadi juara musim ini membelasah kelab setempat, Tottenham Hotspur, tanpa belas kasihan. Pengurusnya, Thomas Frank, semasa temuramah sebelum perlawanan secara berjenaka buat-buat tidak kenal sama pemain The Gunners, Eberechi Eze.
Di atas padang kemudiannya, Eze memadam jenaka Frank dengan jaringan hatrik, sekali gus membenam Spurs 4-1.
Satu lagi gol Arsenal dijaringkan oleh Leandro Trossard. Spurs pula bolehlah mengubat sedikit kesipuan mereka dengan jaringan penutup malu melalui Richarlison dari jarak 35 meter.
Walaupun cantik, menang tetap menang, dan yang kalah tetap kalah.
Chelsea pula mengekori di tempat kedua di belakang Arsenal selepas menang di padang Burnley. Mereka dijarakkan dengan enam mata.
Juara Piala Kelab Dunia itu menepati ramalan dengan memenangi perlawanan dengan pasukan meningkat naik Burnley dengan keputusan 2-0 di Turf Moor.
Gol-gol Chelsea dijaringkan oleh Pedro Neto dan Enzo Fernandez.
Keputusan sangat mengaibkan
Sementara itu Liverpool terus menelan kepahitan 'sumpahan' apabila dimalukan oleh kelab yang baru masih nyawa-nyawa ikan untuk kekal di EPL - Nottingham Forest.
Untuk rekod, mereka hanya mempunyai kelebihan satu mata untuk dibezakan dengan tiga pasukan tercorot sekarang.
Gol-gol Forrest dijaringkan oleh Murillo, N Savona dan Morgan Gibbs-White.
Liverpool bermula dengan baik dengan menyerang bertali arus tetapi berubah rapuh setelah taktik menyerap serangan dan counter attack yang diamalkan oleh Sean Dyche membocorkan gawang Liverpool pada minit ke-33.
Setelah gawang mereka bocor, Liverpool menjadi serba tidak kena.
Mohamed Salah yang menjadi mangsa kepungan pertahanan Forrest menjadi serba salah gerakannya.
Gerakan licik Cody Gakpo pula sering tersekat, manakala kehadiran Alexander Isak - yang dibeli dari Newcastle dengan harga tidak masuk akal £125 juta - sekadar menunjukkan permainan yang ‘tidak masuk akal’.
Kekalahan itu sangat mengaibkan kerana The Reds terpaksa menahan mahu berada di tangga 12.

Sekarang sudah ada suara meminta pengurus pujaan mereka musim lalu, Arne Slot, di pecat kerana taktikal kurang menjadi dan dikatakan ‘pilih kasih’ dalam pemilihan kesebelasan utama.
Semasa kalah kepada Forest, pemain yang dirasakan bagus seperti Federico Chiesa , Hugo Ekitike, Andrew Roberts dan Rio Ngumoha hanya dimasukkan pada hujung perlawanan.
Namun semuanya sudah terlambat.
Pada 29 Nov ini Liverpool akan ke Stadium London berhadapan dengan pasukan yang kini berada di tanggap ke-17 iaitu West Ham United.
Andainya The Reds kalah lagi, masalah yang tersebar mungkin ditanggung oleh Slot. Kemungkinan hayatnya bersama kelab berkenaan mungkin seperti menghitung hari saja. Daripada pasukan yang merah membara, mereka berubah menjadi kelab yang merah padam.
Sementara itu satu lagi kelab yang gah dan sedang bergelut dengan nasib sendiri ialah Manchester United. Di gelanggang sendiri MU diaibkan oleh Everton yang bermain dengan hanya 10 orang selama kira-kira 80 minit.
Keadaan itu mungkin mendorong ramai pemuja MU mengambil cuti sakit.
SHAHRAY ZULKIFLI ialah bekas peguam syarie yang pernah bertugas di Brunei Darussalam selama 24 tahun.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/11/9cc2d33eb5343ed263df16f4a49987ee.jpg)
