Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia takkan berjaya jika terus main sentimen negeri, daerah - Anwar
Diterbitkan:  Nov 27, 2025 8:20 AM
Dikemaskini: 12:20 AM

PRN SABAH | Negara tidak akan berjaya sekiranya kerajaan yang dibentuk terus memainkan sentimen kenegerian dan daerah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim malam tadi.

Katanya kerajaan negeri yang bakal dibentuk di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 nanti perlu menjalin hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan, dan PH akan memberikan sokongan untuk memastikannya.

“Main sentimen negeri, main sentimen daerah, kita tidak akan berjaya.

“Saya tahu, ini musim berkempen pilihan raya tetapi kita kena ingat di sebalik semua itu, kita perlu memikirkan perkara yang dipertaruhkan untuk masa depan,” katanya semasa berucap pada majlis ramah mesra dan makan malam bersama masyarakat Cina di Sandakan.

Anwar meletakkan harapan agar calon PH di kerusi DUN Elopura, Vivian Wong Shir Yee, DUN Tanjong Papat, Tang Szu Ching, dan DUN Karamunting George Hiew Vun Zin, boleh memperoleh majoriti mudah pada PRN Sabah ke-17.

Dia juga berkata kerajaan Persekutuan akan membuat penyelarasan serta penambahbaikan terhadap pelaksanaan e-Invois serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi memudahkan syarikat kecil.

Katanya pengenalan e-Invois itu memang baik namun dari segi pelaksanaan adakalanya memberikan masalah kepada syarikat-syarikat kecil.

“Saya dengar permasalah itu dan sedia membuat penyelarasan namun saya tidak boleh umumkan sekarang kerana ini masa kempen.

“Saya nak beritahu juga kami (kerajaan Persekutuan) dengar, kami akan buat penyelarasan baik dari segi pelaksanaan e-Invois mahupun pelaksanaan SST,” katanya.

Terdahulu, Anwar menghadiri sesi santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Karamunting bersama Hiew.

Ketibaan Pengerusi PH itu disambut meriah dengan pukulan kompang oleh Kumpulan Al-Falah Kampung Karamunting. Dia turut beramah mesra bersama masyarakat di kawasan berkenaan selama kira-kira 30 minit.

Sementara itu, menerusi catatan di Facebook, perdana menteri menuntut belia Sabah untuk cemerlang dalam bidang yang mereka ceburi serta menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri dan negara.

Dia juga menegaskan kesinambungan kemajuan dan sinergi padu itu perlu diterjemahkan melalui pemilihan kepimpinan yang tepat khususnya sewaktu hari pengundian PRN Sabtu ini.

“Saya turut mengingatkan hadirin bahawa kerajaan Persekutuan menyalurkan sekitar RM17 bilion kepada Sabah setiap tahun berbanding kutipan hasil negeri sebanyak RM10 bilion dan bukannya mengaut hasil atau khazanah negeri seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya.

Menurut perdana menteri tindakan kerajaan itu merupakan bukti jelas usaha Pusat memastikan Sabah dipacu secara menyeluruh dan berterusan selain memastikan belia serta rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 yang mempertandingkan 73 kerusi DUN berlangsung Sabtu ini dan untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS