Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Malaysia tak pernah campur tangan konflik Thailand-Kemboja, kata Mohamad

Malaysia tidak pernah campur tangan dalam konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja, susulan protes yang berlaku di Bangkok baru-baru ini yang mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim terlibat dalam isu berkenaan.

Menteri Luar Mohamad Hasan berkata protes tersebut dianjurkan parti pembangkang di Thailand yang sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya.

Bagaimanapun, dia berkata protes itu tidak membawa implikasi serius terhadap imej Malaysia di rantau Asean.

“Protes ini dijadikan modal oleh parti pembangkang (Thailand) yang kecil jumlahnya untuk mereka menghadapi pilihan raya bakal diadakan.

“Untuk mengatakan bahawa Malaysia, khususnya Perdana Menteri campur tangan itu satu perkara yang amat salah kerana Malaysia tidak pernah campur tangan. Sejak daripada dulu lagi kita menjunjung semangat Asean iaitu tidak ada campur tangan hal ehwal negara-negara dalam Asean,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad menjawab soalan tambahan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta penjelasan mengenai pendirian rasmi kerajaan susulan protes di Bangkok, yang mendakwa campur tangan Anwar dalam konflik Thailand-Kemboja serta implikasi jangka panjang protes itu terhadap imej Malaysia.

Mohamad berkata Malaysia hanya berperanan sebagai pemudah cara dalam rundingan antara Thailand dan Kemboja bagi memastikan kedua-dua pihak dapat berunding secara aman dan neutral tanpa campur tangan hal ehwal dalaman masing-masing.

Dia berkata kedua-dua negara tersebut telah meminta Malaysia menjadi tuan rumah bagi membolehkan rundingan damai berlangsung secara adil termasuk terma-terma bagi pelaksanaan gencatan senjata.

“Kita bukan penyelaras, kita hanya pemudah cara. Kita memudah cara,” katanya sambil menambah Malaysia sentiasa berpegang kepada prinsip Asean yang menekankan kebebasan campur tangan.

Sehubungan itu, Mohamad memberi jaminan Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara yang dipercayai negara-negara jiran.

Dia berkata usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen Malaysia untuk memastikan Asean kekal sebagai rantau yang aman, sejahtera dan bebas campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggotanya.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS