Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Warisan persoal layanan dua darjat SPRM
Diterbitkan:  Nov 28, 2025 9:15 AM
Dikemaskini: 1:15 AM

Ketua Penerangan Warisan, Azis Jamman menggesa Putrajaya agar mengamalkan hanya satu standard dalam siasatan rasuah, sambil memberi amaran keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang sedang terjejas akibat persepsi tindakan terpilih.

Azis berkata kepercayaan terhadap institusi merosot kerana rakyat Malaysia percaya wujud dua piawaian yang berbeza; satu untuk mereka yang selari dengan parti-parti politik pemerintah manakala satu lagi terhadap pihak pembangkang.

Dia menyorot contoh layanan berbeza terhadap dua bekas pemimpin politik yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam kes yang dikaitkan dengan BN, Azis berkata bekas perdana menteri Ismail Sabri “tidak direman dan tidak dipaksa memakai pakaian oren SPRM” meskipun ditemui “ratusan juta ringgit."

Sebaliknya, dia berkata Shafie Apdal — dalam kes di mana “tiada wang ditemui, tiada jejak aliran wang diwujudkan dan tiada saksi menunjuk kepada salah laku” — telah “direman lebih seminggu, dipaksa tidur di lantai lokap dan dipakaikan baju oren SPRM untuk tontonan umum.”

Azis merujuk penahanan reman terhadap Shafie sebelum pilihan raya umum 2018.

“Layanan yang berbeza itu sahaja sudah menimbulkan persoalan serius tentang keadilan dan konsistensi,” katanya dalam kenyataan dari Kota Kinabalu pada Khamis.

Azis memberi maklum balas terhadap ucapan perdana menteri di Inanam sebelum ini, yang dilaporkan mempertahankan peletakan jawatan pegawai kanannya Shamsul Iskandar Akin, dengan berkata ia menunjukkan kerajaan menegakkan “tahap integriti yang tinggi”.

Anwar turut menyifatkan peletakan jawatan itu sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku dan berkata sebarang salah laku mesti disusuli siasatan penuh.

Sehubungan itu, Azis berkata kebimbangan serupa kini timbul di Sabah apabila siasatan melibatkan bekas setiausaha politik daripada parti yang bersekutu dengan PH kelihatan 'senyap' sepanjang pilihan raya negeri.

Dia berkata hanya dua individu yang dikaitkan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah didakwa di mahkamah setakat ini dalam skandal perlombongan Sabah.

Ini berlaku walaupun beberapa tokoh GRS telah dirakam dalam video serta secara terbuka mengakui menerima wang daripada ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei namun masih belum didakwa di mahkamah, tambah Azis.

“Adakah mereka dilindungi kerana mereka memegang jawatan penting dalam GRS atau kerana mereka berguna secara politik kepada kerajaan semasa,” soal Azis.

Azis juga merujuk video baru yang dikeluarkan Tei yang mengaitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, seperti didakwa seorang individu yang dikatakan pembantu politik Shamsul.

Azis menegaskan Azam wajar berundur daripada penyiasatan mineral Sabah.

“Demi kredibiliti, Azam Baki mesti menarik diri daripada semua siasatan berkaitan kes mineral Sabah.

“Persepsi awam terhadap berat sebelah hanya akan menjadi lebih teruk jika individu yang sama — yang turut dikaitkan walaupun secara tidak langsung — terus menyelia siasatan ini,” katanya.

Sehubungan itu, Azis menggesa perdana menteri supaya “menunjukkan konsistensi, menegakkan ketelusan dan memastikan layanan sama rata untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kecenderungan politik.”

Dia berkata hanya dengan cara itu keyakinan terhadap institusi negara dapat dipulihkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS