Badan penyelidikan Ilham Centre meramalkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh merangkul sekurang-kurangnya 26 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri Sabah esok.
“Penyumbang terbesar ialah kerusi penyandang dominan seperti Sulaman, Karanaan, Kuala Penyu, Membakut dan seumpamanya,” kata Ilham.
Ramalan itu bersandarkan dapatan survei dan perbincangan kumpulan fokus semua segmentasi pengundi, dan temu bual mendalam dengan ahli akademik, semakan silang dengan data pilihan raya terdahulu dan analisis sentimen di ruang maya.
Ilham membahagikan kerusi kepada tiga kategori iaitu kerusi yang jelas pemenang, kerusi sengit tetapi lebih jelas memihak kepada calon tertentu serta kerusi yang sangat sengit dan sukar dianalisis sehingga saat-saat akhir susulan pemboleh ubah yang sangat rencam.
Selain itu, badan itu juga meramalkan Warisan selesa dengan enam kerusi kubu kuat terutama di pantai timur.
Parti itu juga berpotensi menggandakan angka kepada 14 kerusi sekiranya ayunan undi berlaku di kerusi bandar dan kerusi sengit.
BN pula dijangka memperolehi sembilan kerusi.
“Sekiranya berjaya menawan kerusi tambahan kategori DUN sengit, itu adalah kerusi bonus kepada BN,” katanya.
PH pula hanya ada empat kerusi selesa setakat ini.
“Manakala terdapat 13 kerusi sengit yang terbuka kepada semua calon untuk dimenangi,” katanya.
Antara 13 kerusi sengit itu, PN hanya berpotensi di dua kerusi iaitu Karambunai dan Sugut.
“Sekiranya gagal mengutip sebarang kerusi ini, ia akan menjadi tamparan hebat kepada PN untuk melakukan wake-up call selepas PRN17 ini,” katanya.
Ilham juga berkata situasi DUN tergantung masih boleh distabilkan oleh GRS dengan peluang menambah kerusi melalui kawasan sengit, kerjasama PH, serta rundingan bersama parti-parti lokal dan calon bebas.
“Selain itu faktor yang tidak boleh dipandang rendah ialah peratusan keluar mengundi. Semakin rendah keluar mengundi, ianya akan menguntungkan parti penyandang.
“Dengan faktor dibincangkan di atas, kami menjangkakan sebahagian besar pengundi luar tidak akan pulang mengundi,” katanya.
