Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir: Selangor beku cuti pegawai kanan sampai 15 Dis
Diterbitkan:  Nov 29, 2025 3:45 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Kerajaan Selangor membekukan cuti pegawai kanan, khususnya ketua jabatan pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga 15 Dis bagi memastikan kelancaran gerak kerja pengurusan dan penyelarasan banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor Mohd Najwan Halimi berkata langkah itu bagi menjamin kecemasan bencana dapat ditangani segera tanpa kelewatan.

“Jika berlaku sebarang kecemasan pegawai terlibat ada di sini untuk pantau, bantu dan kerah agensi di bawah mereka sekiranya terdapat keperluan.

“Sebab itu kita ambil tindakan (ini) yang bersifat persiapan. Kalau tidak ada apa yang membabitkan bencana, mereka mungkin boleh cuti seperti biasa tetapi sementara ini, kita beku dahulu cuti hujung tahun pegawai berkenaan,” katanya.

Mohd Najwan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2025 di Shah Alam hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Datuk Mahmud Abbas dan Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS Yuzawati Yusof.

Selain itu, Mohd Najwan yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor berkata walaupun cuaca semakin baik, kerajaan negeri terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa termasuk mengarahkan exco berkaitan ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menyantuni mangsa banjir.

Beliau mengingatkan mangsa banjir agar berpindah dan mendaftar di PPS untuk melayakkan mereka menerima bantuan kewangan disediakan kerajaan negeri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Tetapi syarat kena berdaftar dan berlindung di PPS sebab ada mangsa memilih tinggal di rumah saudara atau kawan (dan) dari segi itu susah untuk kita kesan… yang berdaftar di PPS, kita ada data dan ini melayakkan mereka untuk menerima bantuan disediakan,” katanya.

Mohd Najwan berkata Team Selangor dan Pasukan Sukarelawan Selangor (SERVE) telah digerakkan ke lokasi dilanda banjir untuk melaksanakan kerja pembersihan dengan tumpuan ketika ini ialah kemudahan awam seperti masjid, surau dan dewan orang ramai.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS