Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN sedia kerjasama dengan parti sehaluan di Sabah
Diterbitkan:  Nov 29, 2025 11:49 PM
Dikemaskini: 3:50 PM

PRN SABAH | BN malam ini menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang "sehaluan" bagi menubuhkan kerajaan baru di Sabah.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, berkata parti itu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengundi yang memberikan kepercayaan kepada calon-calon mereka dalam PRN kali ini.

Katanya BN menghormati dan menerima keputusan yang diambil rakyat Sabah yang menyaksikan 596 calon bertanding - sekali gus menjadi manifestasi suburnya demokrasi di negeri tersebut.

Pada masa sama Ahmad Zahid berkata keputusan PRN ke-17 itu menjadi bukti BN tetap memiliki asas sokongan yang teguh dan terus menjadi salah satu blok politik penting dalam landskap politik negeri berkenaan.

"Sebagai sebuah parti yang sentiasa memberikan keutamaan kepada soal kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, BN bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti yang sehaluan bagi membentuk sebuah Kerajaan baru demi kestabilan politik Sabah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam PRN kali ini, BN bertanding di 45 kerusi, termasuk 41 diwakili Umno. Daripada jumlah itu mereka hanya memenangi lapan kerusi.

Antara pemimpin yang menang ialah Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin.

Bagaimanapun penguasaan BN jauh lebih rendah berbanding dua parti tempatan iaitu Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menguasai 30 kerusi, serta Warisan (21 kerusi).

Kenyataan Ahmad Zahid itu dikeluarkan ketika belum jelas parti mana yang akan dapat membentuk kerajaan negeri kali ini.

Dalam keadaan sekarang, tiada mana-mana parti yang memperoleh sekurang-kurangnya 38 kerusi untuk menikmati majoriti mudah, sekali gus menubuhkan kerajaan baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS