Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak, atas alasan teknikal, permohonan habeas corpus yang difailkan oleh pemimpin Hindraf, M Manoharan yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Hakim Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee menolak permohonan tersebut kerana salinan perintah tahanan yang dikemukakan oleh peguam Manoharan, yang Pengerusi DAP, Karpal Singh, tidak disahkan.

Manoharan, 46, adalah antara lima orang pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA Khamis lalu kerana dituduh mengancam keselamatan negara. Empat orang lagi ialah P Uthayakumar, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan T Vasantha Kumar.

Karpal memfailkan permohonan tersebut pada hari Jumaat, kurang daripada 24 jam selepas mereka ditahan, bagi pihak isteri Manoharan, S Puspaneela, 47.

Karpal dijangka memfailkan permohonan baru untuk Manoharan dan Ganabatirau - kedua-duanya ahli DAP - di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini.

Sementara itu, tiga peguam DAP telah menemui lima tahanan tersebut di Pusat Tahanan Kamunting, hari ini berhubung permohonan habeas corpus tersebut.

“Dokumen mahkamah sudah sedia, tetapi ada beberapa perkara lagi yang kami perlu bincangkan dengan pelanggan kami," kata peguam A Sivanesan kepad Malaysiakini.

Beliau berkata, permohonan habeas corpus untuk tiga lagi tahanan akan difailkan Selesa depan.

Dua orang lagi peguam yang mengendalikan permohonan habeas corpus itu adalah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran and Gobind Singh Deo.

Habeas corpus adalah permohonan mengarahkan tahanan dihadapkan ke mahkamah atau hakim untuk menentukan sama ada terdapat kecacatan prosedur yang menyebabkan penahanan mereka tidak sah. Berita asal