Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini menggesa kerajaan mengambil langkah segera meminda undang-undang berkaitan kesalahan seksual songsang, susulan kegagalan pihak berkuasa mendakwa suspek yang ditahan dalam satu serbuan besar-besaran di Chow Kit baru-baru ini.
Ahli Parlimen Setiu, Ahmad Marzuk Shaary berkata kelemahan itu berpunca daripada peruntukan undang-undang sebelum merdeka yang didakwanya tidak lagi relevan.
"Kegagalan pihak berkuasa mendakwa individu yang ditahan bukan terletak pada polis sahaja, tetapi pada undang-undang yang ketinggalan zaman kerana digubal pada era pramerdeka.
"Pihak pendakwa raya perlu memberi panduan kepada polis mengenai bentuk pertuduhan yang boleh digunakan terhadap suspek yang ditahan tetapi gagal direman," katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.
Dia merujuk kepada serbuan yang menyaksikan 208 individu ditahan di sebuah kelab kesihatan yang dipercayai menjadi lokasi “aktiviti seksual songsang”.
Ahmad Marzuk turut mencadangkan penggunaan Seksyen 377D Kanun Keseksaan berkaitan “kelucahan melampau” bagi mendakwa individu yang ditangkap dalam keadaan mencurigakan.
"Kita minta kerajaan cari jalan supaya tindakan boleh diambil sebagai pengajaran. Jangan hanya buat pengumuman tetapi akhirnya gagal mendakwa," tegasnya.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan polis berdepan jalan buntu kerana tiada bukti yang boleh menyokong pendakwaan walaupun siasatan dijalankan bawah Seksyen 377 dan 372 Kanun Keseksaan.

“...tiada bukti yang boleh membantu pihak polis menjalankan siasatan ke arah perkara tersebut,” kata Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus pada 30 Nov.
Seksyen 377 merujuk kepada pelbagai kesalahan berkaitan hubungan seks luar tabii manakala Seksyen 372 pula merujuk kesalahan pelacuran.
Semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengambil keterangan dan merakam percakapan sekumpulan lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti tidak bermoral di sebuah kelab kesihatan di ibu negara pada Jumaat lepas.
“Jawi telah selesai mengadakan siasatan terhadap individu yang disyaki bagi tujuan siasatan berkaitan Seksyen 25 (Liwat), Seksyen 29 (Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam) dan Seksyen 47 (Percubaan) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559),” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata keperluan membuktikan unsur penetrasi bagi mensabitkan kesalahan liwat menyukarkan pendakwaan sedangkan pihak berkuasa boleh menggunakan perundangan lain.
Dia mencadangkan supaya Seksyen 377A Kanun Keseksaan dipinda dengan memasukkan elemen “niat melakukan gejala songsang.”
"Jika elemen niat dimasukkan, barulah tindakan boleh diambil. Jika tidak, sampai bila pun kita gagal mendakwa," katanya.
Ahmad Marzuk menegaskan isu LGBT bukan sekadar isu agama tetapi ancaman kepada "ketahanan negara".

Menurutnya, kerajaan perlu menubuhkan semula jawatankuasa peringkat tinggi yang pernah diwujudkan semasa pentadbiran PN bagi menangani isu LGBT secara menyeluruh.
Dia juga memberi amaran bahawa kegagalan mengambil tindakan undang-undang hanya akan "menyuburkan aktiviti LGBT."
Tegasnya lagi, LGBT bukan isu hak individu tetapi boleh menggugat "demografi, budaya dan agama negara".
Sembrono, langgar hak asasi
Bagaimanapun, Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam serbuan pada 28 Nov di sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut — yang didakwa sebagai pusat “gay” — sehingga membawa kepada penahanan 201 individu.
Dalam satu kenyataan semalam, Timbalan Pengerusi Pemuda PSM, Muhammad Aiman Mohd Sees menyifatkan serbuan itu sebagai tindakan sembrono serta mencabuli hak asasi, selain mendakwa berlaku diskriminasi dan intimidasi.
NGO Justice for Sisters (JFS) dalam kenyataan lain menyifatkan serbuan itu sebagai tindakan diskriminasi kerana menyasarkan sebuah “pusat perubatan” berdasarkan persepsi terhadap pelanggannya.
Sebaliknya, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pula berkata serbuan ke atas premis itu memperlihatkan budaya maksiat dalam negara semakin berani, terancang dan dilakukan tanpa segan silu.
Timbalan Presidennya, Mohamad Saifuddin Abdul Latiff berkata isu hubungan sejenis tidak lagi boleh dianggap sebagai isu peribadi, sebaliknya ia adalah ancaman sosial dan kesihatan yang memerlukan intervensi menyeluruh daripada keluarga, komuniti, pihak berkuasa, institusi agama dan sistem pendidikan negara.
