Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi belum memberi sebarang jawapan terhadap permohonan parti politik pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengadakan perbincangan dengan beliau.

Anwar berkata, sudah dua minggu masa yang diberikan kepada perdana menteri tetapi belum ada sebarang jawapan.

"Kita mahu bincang beberapa isu seperti perpaduan, pilihanraya bebas dan adil dan keganasan polis dalam menangani isu perhimpunan aman," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri mengadakan sidang media tersebut bagi mendedahkan maklumat terbaru mengenai projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ).

Anwar juga memberitahu, pihaknya telah menghantar video klip Lingam kepada Suruhanjaya Di Raja pagi tadi.

"Ya kita sudah hantar kandungan video klip itu kepada suruhanjaya diraja," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan perkara tersebut.

Sebelum ini, Anwar mendedahkan klip video penuh VK Lingam yang didakwa membabitkan perbualan peguam terkenal Datuk VK Lingam, didakwa dengan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Bidangkuasa

Pada 12 Disember lalu, kerajaan mengumumkan anggota dan bidangkuasa suruhanjaya diraja untuk menyiasatkan klip video tersebut.

Suruhanjaya lima anggota itu akan diketuai oleh bekas Ketua Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor.

Anggota lain terdiri daripada bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar; bekas Peguam Cara, Puan Sri Datuk Zaitun Zawiyah Puteh dan Pesuruhjaya Suhakam, Prof Datuk Khoo Kay Kim.

Bidang tugas suruhanjaya tersebut ialah:

* Untuk menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video berkenaan;

* Untuk menyiasat dan mengenal pasti identiti orang yang terdapat dalam klip video tersebut, kepada siapa dia sedang bercakap dan orang-orang yang disebut dalam perbualan itu;

* Untuk menyiasat dan menentukan kebenaran isi kandungan percakapan dalam klip video tersebut;

* Untuk menentukan sama ada terdapat apa-apa salahlaku oleh orang atau orang-orang yang dikenal pasti atau disebut dalam klip video tersebut; dan

* Untuk mengesyorkan apa-apa tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap orang atau orang-orang yang dikenal pasti atau disebut dalam klip video itu sekiranya orang atau orang-orang itu didapati telah melakukan sebarang salah laku.

Suruhanjaya berkenaan dikehendaki menyiapkan siasatannya dan mengemukakan laporan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan dari tarikh tualiah dikeluarkan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau tidak lagi diperiksa oleh pihak berkuasa di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) sekembalinya dari luar negara pagi tadi.

"Saya baru balik dari Dubai melalui Singapura. Ini bermakna nama saya tidak lagi dalam senarai orang yang disyaki," katanya berseloroh.