Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2026 Pahang macam nak sambut PRU, kata PN

DUN PAHANG | Pembangkang hari ini menganggap pembentangan Belanjawan Pahang 2026 seolah-olah rancangan belanjawan menuju pilihan raya umum di sebalik peningkatan hampir 7 peratus bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Ketua Pembangkang, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata walaupun peruntukan tersebut meningkat namun ia masih tidak menyentuh perkara fundamental terhadap pelbagai masalah dihadapi kerajaan negeri.

"(Belanjawan) hari ini seolah-olah satu belanjawan hampir nak pilihan raya... seperti (kerajaan Pahang) berdepan tekanan kepada program yang dilakukan PN.

"Saya pun fikir mungkin dah dekat (pilihan raya), tapi apabila lihat balik kepada prestasi buruk kerajaan dalam PRN Sabah, mungkin juga lambat lagi (PRU diadakan).

"Tapi belanjawan (Pahang) hari ini, tidak terlalu memfokuskan isu utama dihadapi di Pahang seperti masalah penutupan kilang macam di Jengka, projek sakit dan terbengkalai, dan juga ketirisan hasil negeri," katanya dalam sidang media selepas pembentangan belanjawan itu di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

Ditanya mengenai kemungkinan kerajaan membubarkan parlimen atau DUN untuk membuka laluan PRU lebih awal kerana masalah dalaman dihadapi PN ketika ini, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS memberitahu, pihaknya bersedia untuk sebarang kemungkinan.

"PN tidak ada masalah dan saya sebagai Pengerusi PN Pahang boleh sahkan kita tidak berdepan sebarang masalah.

"Kalau ada (masalah), bukan PN tapi parti dalam gabungan dan ia masalah dalaman mereka... jadi, itu mereka kena selesaikan," jelasnya.

Dia bagaimanapun menyambut baik pengumuman kerajaan Pahang memberikan bantuan kewangan khas dua bulan gaji kepada penjawat awam dan RM200 untuk penjawat awam Persekutuan.

"Pengumuman itu memang kita sambut baiklah, ia seperti satu feel good factor... seperti dah dekat nak pilihan raya," katanya.

Bagaimanapun, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, pada sidang medianya di DUN menafikan belanjawan dibentangkan hari ini disebabkan pilihan raya sudah hampir.

"Kuasa nak bubar DUN atau parlimen bukan di tangan saya... dan tiap tahun memang kita bagi macam-macam untuk rakyat Pahang, tak perlu tunggu pilihan raya pun.

"Belanjawan ini bukan saya dan exco saja yang bincang... kita buat bengkel dan minta pandangan semua pihak, sebab ia perlu dibuat dengan teliti supaya semua rakyat menerima manfaat.

"Dan dalam keadaan teliti itu pun, memang akan ada lagi yang tercicir, namun kita tambah baik setiap tahun... setiap kali buat (belanjawan) kita akan lakukan penambahbaikan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS