Empat wanita yang dilaporkan sesat semasa mendaki Bukit Cherok Tokun di Bukit Mertajam petang semalam, diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam operasi selama kira-kira lima jam malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan JBPM Pulau Pinang John Sagun Francis berkata operasi itu melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.47 petang.
“Semua mangsa berusia 25 tahun sesat di dalam hutan dan seorang daripada mereka telah menghantar lokasi keberadaan melalui aplikasi WhatsApp.
“Dua mangsa ditemukan pada jam 8 malam manakala dua lagi pada jam 11.03 malam selepas operasi pencarian diperluas dan mereka dibawa turun dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia berkata operasi yang turut melibatkan polis dan orang awam itu tamat pada jam 11.40 malam.
- Bernama
